Anda mesti yakin bahawa pakaian yang anda pakai untuk solat adalah menepati syarat menutup aurat. Buangkan semua rasa was-was. Namun, jika terbukti pakaian anda tak menutupi aurat, solat yang anda kerjakan wajib diulangi.
#7 – Muka Dan Dua Pergelangan Tidak Wajib Ditutup
Tentang kaki pula, Abu Daud ada melaporkan daripada Ummu Salamah mengenai hal ini. Menurutnya, tudung dan baju diharuskan dipakai semasa solat selagi ia menutup kedua-dua kakinya. Maka, adalah lebih baik jika kaki ditutup semasa bersolat.
Berkaitan hal niqab pula, ia adalah suatu perbuatan yang makruh di dalam solat. Oleh itu, hendaklah membuka niqab semasa hendak bersolat. Imam Nawawi menjelaskan hal ini menerusi Raudhatul-Tholibin:
“Makruh (dilarang) seorang lelaki bersolat dengan menutup muka dan seorang wanita berniqab. Begitu juga dilarang menutup mulut dengan tangan ketika bersolat, kecuali ketika menguap. Meletakkan tangan pada mulut ketika menguap adalah sunat.”
#8 – Tutup Aurat Walaupun Berada Di Tempat Yang Gelap
Solat tidak sah jika tak menutup aurat walaupun anda berada dalam bilik yang tertutup dan gelap. Namun, jika keadaan memaksa seperti anda betul-betul tidak dapat menemui pakaian atau benda untuk menutup aurat, maka hukumnya adalah harus.
Adalah dinasihatkan juga supaya anda tidak sujud atau rukuk terlalu lama dalam keadaan ini untuk mengelakkan terlihat aurat besar.
Rujukan: Anda Bertanya, Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Rohidzir, Rais, PTS Islamika