by Oh! Semput
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti perjudian dalam talian yang dikesan atau dilaporkan sepanjang berlangsungnya kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk promosi atau kegiatan perjudian dalam talian memandangkan aktiviti tersebut adalah menyalahi undang-undang di negara ini.
Menurut beliau, MCMC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kandungan atau pautan berkaitan perjudian sekiranya menerima aduan daripada orang ramai.
“Kita tahu judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara kita. Jadi sekiranya pihak MCMC menerima aduan, maka boleh diambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Isnin.
Fahmi turut menggesa masyarakat supaya memainkan peranan dengan melaporkan sebarang kandungan, iklan atau pautan yang dipercayai mempromosikan perjudian dalam talian agar tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan segera.
Menurut beliau, kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras penyebaran aktiviti perjudian yang semakin banyak menggunakan platform digital dan media sosial untuk menarik pengguna.
Kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti perjudian dalam talian sering timbul ketika berlangsungnya kejohanan sukan berskala besar seperti Piala Dunia, apabila sindiket mengambil kesempatan daripada minat peminat sukan untuk mempromosikan pertaruhan yang menyalahi undang-undang.
Piala Dunia FIFA 2026 dijadualkan bermula Khamis ini dengan penyertaan 48 negara, menjadikannya edisi terbesar dalam sejarah kejohanan tersebut. Buat pertama kali juga, kejohanan berprestij itu akan dianjurkan secara bersama oleh tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Sehubungan itu, MCMC dijangka memperhebat pemantauan terhadap kandungan digital sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan ruang siber negara tidak disalahgunakan untuk tujuan perjudian atau aktiviti yang melanggar undang-undang.
MCMC Perketat Pemantauan Judi Dalam Talian Sepanjang Piala Dunia 2026 first appeared on #1 The News Malaysia.