by Oh! Semput
Sebelum ini, ramai hanya mengetahui tentang Facebook Plus, Instagram Plus dan WhatsApp Plus. Namun, Meta nampaknya sedang bersedia memperluaskan penawaran langganan berbayarnya menerusi Edits Plus yang dikhususkan untuk aplikasi suntingan video Edits.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan pada laman sokongan rasmi Meta, Edits Plus akan menawarkan storan awan tambahan sehingga 200GB untuk memudahkan pengguna menyimpan dan mengakses projek mereka merentasi peranti. Projek juga boleh diselaraskan secara automatik tanpa perlu dipindahkan secara manual setiap kali pengguna bertukar peranti.
Selain storan tambahan, Meta turut memberi bayangan bahawa Edits Plus akan hadir dengan beberapa ciri berkaitan AI dan pengurusan projek yang disasarkan kepada pencipta kandungan. Bagaimanapun, syarikat itu masih belum berkongsi senarai penuh ciri yang akan ditawarkan menerusi langganan berkenaan.

Meta turut menyatakan bahawa Edits Plus boleh diakses menerusi pakej Meta One, yang turut merangkumi Facebook Plus, Instagram Plus dan WhatsApp Plus di pasaran yang menyokong perkhidmatan tersebut. Buat masa ini, Edits Plus masih dalam fasa ujian terhad dan belum ditawarkan secara meluas kepada semua pengguna.