by Oh! Semput
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan akan mencari jurulatih baharu bagi mengendalikan skuad kebangsaan selepas gagal mencapai kata sepakat dengan bekas pengendali pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez.
Menerusi satu kenyataan dalam laman facebook rasmi FAM semalam, Tunku Ismail mendedahkan bahawa Gomez meminta gaji sebanyak AS$40,000 (kira-kira RM180,000) berbanding apa yang ditawarkan kepadanya sebelum ini iaitu AS$25,000 (RM110,877) sebulan.
“Saya dimaklumkan bahawa Mario Gomez menafikan bahawa beliau meminta gaji yang tinggi. Kami tawarkan AS$25,000 (RM110,877) tetapi beliau meminta lebih.
“Adakah itu tidak bermakna bahawa beliau meminta lebih daripada apa yang kami tawarkan? Tidak mengapalah. Kami akan cari individu lain yang betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia,” titah Tunku Ismail dalam kenyataan tersebut semalam.
Semalam melaporkan bahawa pengendali dari Argentina itu bersetuju untuk menandatangani kontrak selama dua tahun apabila Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menawarkan beliau gaji dengan tambahan lapan peratus berbanding imbuhan yang diperolehnya ketika mengendalikan JDT sebelum ini.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kata putus dan lebih memburukkan keadaan, Gomez enggan menjadikan Tan Cheng Hoe sebagai pembantunya andai beliau dilantik menjadi pengendali skuad Harimau Malaya nanti.
“Saya sudah menetapkan satu polisi yang mana setiap jurulatih luar negara perlu dibantu oleh jurulatih anak tempatan. Bukankah Tan Cheng Hoe sekarang adalah jurulatih tempatan yang terbaik ketika ini.
“Namun, apabila nama Cheng Hoe disenaraikan, sebahagian besar penyokong bising dengan menyatakan supaya tidak memilih dia (Cheng Hoe) atau lebih baik memilih jurulatih lain. Saya tidak tahu apa yang mereka (penyokong) inginkan sebenarnya,” titah baginda lagi.
Difahamkan, sebelum ini Cheng Hoe telah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) minggu lepas tetapi permohonannya ditolak oleh Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail turut bertitah agar para penyokong mengubah mentaliti supaya tidak lagi merungut dan menerima perubahan yang cuba dilakukan dalam misi memulihkan kembali martabat bola sepak negara.
“Tahap ketelusan dan maklumat yang telah saya kongsikan (kepada penyokong) dalam masa 11 hari saya menjadi Presiden FAM adalah lebih banyak daripada apa yang anda dapat sejak 30 tahun lalu tetapi anda semua masih lagi nak merungut.
“Kejayaan bukanlah mustahil kerana sekarang perubahan telah dilakukan dan kita sudah tahu apa punca sebenar.
“Kini kita tahu bagaimana hendak mengubah struktur, namun pada masa sama semua pihak juga perlulah bersikap profesional,” titah baginda lagi.