Pesawat belum ditemui, Kampung Yah Yah tumpuan carian

by Oh! Semput


3
SHARES
44
VIEWS
Posted on 16 Jun 2017 08:01:21

Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memeriksa liputan telekomunikasi di kawasan yang dipercayai pesawat Hawk 108 terhempas di Jalan Chukai-Ibuk berhampiran Kampung Yak Yah, Kemaman 16 Jun 2017. — Foto BernamaKEMAMAN, 16 Jun — Sebuah lokasi kira-kira dua kilometer dari lokasi dua mayat juruterbang pesawat Hawk 108 ditemukan di Jalan Chukai-Ibok berdekatan Kampung Yak Yah pada 2.30 petang semalam, menjadi tumpuan orang ramai hari ini.

Menurut sumber, lokasi itu dipercayai adalah kawasan di mana pesawat malang itu terhempas yang hingga kini masih belum dijumpai.

Meskipun keadaan cuaca panas dan ada yang sedang menjalani ibadah puasa, ia tidak menghalang mereka untuk berada di lokasi kejadian hari ini.

Kelihatan juga beberapa pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan berada di lokasi dan memasang garisan kuning sepanjang 200 meter bagi menghalang orang ramai dari memasuki kawasan kejadian.

Turut “'berkampung” sekumpulan wartawan daripada pelbagai agensi media termasuk Bernama, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian, New Strait Times dan TV Al-Hijrah.

Seorang penduduk kampung, Azman Samad, 47, berkata situasi sedemikian jarang berlaku sebelum ini memandangkan ia adalah kawasan berpaya dan tidak mempunyai apa-apa daya tarikan.

“Tetapi kawasan ini memang laluan biasa pesawat-pesawat TUDM membuat latihan. Jadi kami memang biasa mendengar bunyi pesawat terbang di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun Azman yang merupakan pengawal keselamatan berkata pada kira-kira pukul 11.30 pagi semalam ketika berada di rumahnya beliau mendengar satu letupan kuat di udara.

“Sebelum itu saya memang ada mendengar bunyi pesawat lalu di kawasan ini tetapi tidak lama kemudian saya terdengar bunyi letupan kuat di udara tetapi selepas itu keadaan terus senyap dan sunyi, tiada bunyi letupan lain.

“Saya sangka TUDM sedang melakukan latihan dan menyangka letupan itu tanda latihan tersebut telah berakhir,” katanya yang tinggal di kampung itu sejak sembilan tahun lepas.

Azman kemudian mendapat tahu berita kehilangan pesawat tersebut menerusi media sosial Facebook dan tidak lama selepas itu dalam pukul 2.30 petang beliau mendengar siren polis, ambulans dan helikopter berlegar-legar kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

“Saya pun bergegas ke tempat kejadian dan melihat kawasan ini telah dipenuhi dengan anggota keselamatan terdiri daripada anggota TUDM, polis dan paramedik.

“Saya mendapat tahu kemudian kedua-dua juruterbang disahkan ditemui di kawasan berpaya dalam keadaan memakai payung terjun tetapi disahkan meninggal dunia dan dibawa ke hospital menggunakan helikopter,” katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati helikopter TUDM berlegar-legar di kawasan ini sejak pukul 10 pagi tadi, namun berhenti beberapa jam sebelum terbang semula pada pukul 1 tengah hari.

Para wartawan dan jurugambar yang berada berhampiran lokasi berkenaan tidak dibenarkan masuk ke dalam hutan paya bakau berkenaan atas faktor keselamatan.

Semalam sebuah pesawat pejuang Hawk 108 TUDM yang terputus hubungan dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan terhempas dan mengorbankan dua juruterbangnya.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan sebelum menemukan dua mayat juruterbang dalam hutan paya bakau Kampung Yak Yah kira-kira pukul 2.30 petang.

Bagaimanapun, sehingga pukul 1 tengah hari ini, pihak berkuasa dan TUDM masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung penemuan bangkai pesawat berkenaan. — Bernama

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts