by Oh! Semput
Setelah diperkenalkan di China pada bulan lalu, DJI secara rasmi kini melancarkan Osmo Pocket 4P untuk pasaran global, termasuk Malaysia.
Model terbaharu dalam siri kamera gimbal ini tampil dengan perubahan ketara menerusi penggunaan sistem dwi lensa. Ia menggabungkan lensa sudut lebar dan lensa med-tele bagi memberikan lebih fleksibiliti untuk pelbagai jenis rakaman, sama ada pemandangan luas, rakaman harian mahupun potret.
Lensa utamanya menggunakan sensor CMOS 1 inci (format 20mm dengan bukaan f/2.0). Dengan teknologi LOFIC, ia menyokong julat dinamik sehingga 17 hentian serta rakaman video sehingga 4K/240fps.

Bagi rakaman potret pula, Osmo Pocket 4P dilengkapi lensa med-tele 60mm dengan bukaan f/1.8 yang menyokong zum optikal 3x dan sehingga 12x zum.
Turut diperkenalkan ialah profil warna baharu 10-bit D-Log 2. Digabungkan dengan julat dinamik 17 hentian, pengguna mempunyai lebih banyak ruang untuk melakukan suntingan warna tanpa mengorbankan perincian pada bahagian terang dan bayang.
Untuk rakaman aksi, kamera ini menyokong mod gerak perlahan (slowmo) sehingga 8x pada resolusi 4K/240fps. DJI turut menyertakan mod Slow Shutter Video yang membolehkan pengguna menghasilkan kesan jejak cahaya, kabur pergerakan dan sebagainya.

Walaupun menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi, Osmo Pocket 4P masih mengekalkan reka bentuk kompak dengan berat sekitar 230 gram. Ia menggunakan sistem penstabilan mekanikal 3 paksi serta ActiveTrack 8.0 yang mampu mengekalkan subjek seperti manusia, haiwan peliharaan, kenderaan dan objek lain berada di tengah bingkai, termasuk ketika menggunakan zum sehingga 12x.

Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk rakaman segera dengan memusingkan skrin sentuh, kawalan menggunakan isyarat tangan, fungsi 4K Live Photo yang merakam klip 1.5 saat bagi setiap gambar, rakaman foto sehingga 37MP, 103GB storan terbina, pemindahan fail melalui USB 3.1 pada kelajuan sehingga 800MB/s, pengecasan daripada 0% ke 80% dalam masa 18 minit serta masa penggunaan sehingga 210 minit apabila dicas penuh.
Osmo Pocket 4P turut menyokong pelbagai aksesori dalam ekosistem Osmo.
Di Malaysia, Osmo Pocket 4P Standard Combo dijual pada harga RM2,419, manakala Vlog Combo pula berharga RM2,739.
{suggest}
DJI Osmo Pocket 4P Kini Rasmi – Dilengkapi Dwi-Lensa, Harga Bermula RM2,419 WISER.MY.