by Oh! Semput

POLIS Thailand berjaya membongkar rancangan untuk membunuh Perdana Menteri selepas merampas senjata milik aktivis antijunta yang kini sedang diburu. – Foto www.nst.com.my
BANGKOK: Polis Thailand hari ini berkata mereka berjaya membongkar rancangan untuk membunuh Perdana Menteri selepas merampas senjata milik aktivis antijunta yang kini sedang diburu.
Ia adalah penemuan terbaru simpanan senjata milik anggota pergerakan Baju Merah, kumpulan politik yang setia kepada Perdana Menteri yang disingkirkan, Thaksin Shinawatra.
Semalam, polis menemui puluhan raifal dan bom tangan serta ribuan butir peluru di rumah milik pemimpin Baju Merah, Wuthipong Kochathamakun, yang melarikan diri sejak rampasan kuasa tentera.
Polis turut menahan sembilan lelaki yang ada kaitan dengan senjata dirampas itu, dan berkata mereka mempunyai bukti kukuh suspek dan rangkaiannya berniat mencetuskan kekecohan.
“Kami menemui senjata dengan teropong. Kami yakin ia bukan untuk menembak burung tetapi digunakan untuk membunuh pemimpin negara,” kata Ketua Polis Negara, Jakthip Chaijinda kepada wartawan hari ini, merujuk kepada Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha.
Prayuth, ketika itu ketua tentera, menumbangkan kerajaan pimpinan adik Thaksin, Yingluck, dalam rampasan kuasa 2004.
Junta menemui puluhan senjata milik kumpulan yang dikatakan setia kepada keturunan Thaksin.
Junta berkata, simpanan senjata itu menunjukkan ada kumpulan cuba mencetuskan ketidakstabilan dan mewajarkan mereka merampas kuasa.
Jakthip tidak mengemukakan bukti lain mengenai pelan pembunuhan, tetapi berkata Wuthipong dan rangkaiannya sering menentang junta dan kumpulan itu meramalkan di media sosial perdana menteri akan dibunuh. – REUTERS
Category: Dunia