Polis Buka Siasatan Lelaki Disyaki Menyamar Sebagai Penjawat Awam

by Oh! Semput


5
SHARES
69
VIEWS
Posted on 29 Jun 2026 08:01:37

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai penjawat awam selepas tindakannya memakai pakaian menyerupai uniform pasukan keselamatan dan bergambar di lokasi yang kelihatan seperti pejabat kerajaan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.58 petang semalam sebelum siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti identiti serta motif suspek.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai mengenakan pakaian yang menyerupai uniform rasmi pasukan keselamatan selain memuat naik gambar dengan latar belakang yang menyerupai premis kerajaan, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyamar sebagai penjawat awam. Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis kini sedang mengumpulkan bukti dan mendapatkan maklumat daripada saksi bagi membantu melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Aidah Yem di talian 010-2176278 atau menyalurkan maklumat melalui talian kecemasan NG MERS 999 serta Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243.

Dalam masa sama, Naazron menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai mana-mana individu yang mengaku sebagai penjawat awam tanpa pengesahan, selain mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya sehingga siasatan selesai dijalankan.

Polis Buka Siasatan Lelaki Disyaki Menyamar Sebagai Penjawat Awam first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts