by Oh! Semput
Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian pergaduhan antara seorang penumpang dan seorang petugas di Stesen KTM Komuter Labu, Nilai, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Nilai, Johari Yahya berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi satu minit 36 saat yang memaparkan pergaduhan dua lelaki di stesen berkenaan menerusi TikTok pada jam 3.45 petang semalam.
Susulan penularan video tersebut, Ketua Balai Polis Labu membuat laporan pada jam 4.26 petang bagi membolehkan siasatan dijalankan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan rakaman yang tular, kejadian dipercayai bermula apabila seorang warga emas bertanyakan mengenai kelewatan tren kepada petugas yang bertugas di stesen berkenaan. Situasi kemudian menjadi tegang selepas seorang penumpang lelaki dilihat menegur petugas terbabit sebelum tercetusnya pergaduhan antara dua lelaki.
Insiden itu dipercayai berlaku ketika perkhidmatan KTM Komuter mengalami gangguan yang menyebabkan penumpang berdepan kelewatan perjalanan. Sebelum ini, KTMB memaklumkan seorang pekerja syarikat kontraktor yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan telah digantung tugas serta-merta.
KTMB turut menjelaskan bahawa individu terbabit bukan kakitangan KTMB, sebaliknya merupakan pekerja syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan di stesen berkenaan.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan rakaman yang tular semata-mata kerana siasatan masih dijalankan bagi menentukan kronologi serta punca sebenar pergaduhan tersebut.
Polis Buka Siasatan Kes Pergaduhan Di Stesen Komuter Labu first appeared on #1 The News Malaysia.