by Oh! Semput
KUALA LIPIS: Program Korban Perdana EZ Qurban Peringkat Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berjaya mencapai sasaran apabila sebanyak 40 ekor lembu dikorbankan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Tanjung Gahai, di sini, hari ini.
Pengasas EZ Qurban, Datuk Azhar Ab Shukur berkata, program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk JAIP, kerajaan negeri serta komuniti setempat.
Menurutnya, kerjasama strategik itu sudah bermula sejak beberapa tahun lalu, namun hanya dilaksanakan dalam skala kecil sebelum diperluaskan tahun ini.
"Alhamdulillah, program kali ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada masyarakat tempatan, JAIP dan juga kerajaan negeri.
"Tahun ini Menteri Besar turut hadir bersama-sama menjayakan program ini. Saya anggap ia satu usaha yang amat baik kerana mendapat sokongan pihak berwibawa dalam membantu kita mencapai sasaran serta menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program berkenaan yang disertai kira-kira 300 petugas termasuk penduduk setempat.
Azhar berkata, agihan daging korban membabitkan kira-kira 3,600 penduduk di 14 kampung sekitar kawasan berkenaan.
"Terima kasih juga kepada kira-kira 300 petugas yang berjaya menyelesaikan urusan bermula daripada proses melapah sehingga membungkus daging korban dalam tempoh kira-kira tiga jam.
"Program di Kampung Tanjung Gahai ini antara program korban terbesar diadakan di Pahang tahun ini sekali gus membuktikan peningkatan penyertaan masyarakat dalam ibadah korban," katanya.
Beliau turut berharap masyarakat terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pihaknya bagi memastikan amanah yang diberikan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pemilihan lokasi program dibuat berdasarkan pandangan dan cadangan pihak berkuasa agama negeri yang lebih memahami keadaan setempat.
"Sebelum kami masuk ke sesuatu kawasan, kami akan merujuk kepada JAIP dan Exco Agama bagi mendapatkan pandangan mereka.
"Mereka lebih mengenali negeri dan masyarakat setempat, jadi program dapat dilaksanakan dengan lebih teratur hasil panduan serta kerjasama yang diberikan," katanya.
Turut hadir memeriahkan program ialah Duta EZ Qurban yang juga pelakon dan pelawak terkenal, Abon. #HarianMetro