by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi pembayaran, Visa berkata 74 peratus rakyat Malaysia semakin kurang bergantung kepada wang tunai dan lebih suka menggunakan kaedah pembayaran elektronik.
Syarikat itu berkata bahawa ia telah mencatatkan peningkatan sebanyak lapan peratus dalam pembayaran elektronik berbanding tunai pada 2016 berbanding pada tahun 2015.
Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui email, Visa melaporkan sebanyak 49 peratus daripada responden mempunyai lebih dari satu kad pembayaran berbanding lima tahun lalu.
Pengguna melihat penggunaan kad pembayaran adalah lebih selamat berbanding membawa wang tunai yang banyak.
Syarikat itu berkata bahawa 68 peratus daripada responden menggunakan pembayaran elektronik manakala 67 peratus berkata penggunaan kad adalah lebih selamat daripada tunai.
“Memandangkan landskap yang sentiasa berubah khususnya tatacara membuat bayaran, rakyat Malaysia jelas yakin dengan kemajuan teknologi dalam penyelesaian pembayaran.
“Kami gembira bahawa rakyat Malaysia mengiktiraf manfaat penggunaan kad sentuh di mana ia mampu mempercepatkan pertumbuhan pembayaran elektronik di negara ini, sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia untuk Malaysia menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang tahun 2020, “kata pengurus negara Visa Malaysia KB Ng dalam kenyataan itu.