by Oh! Semput
Realme 16 Pro 5G Harry Potter Edition secara rasminya dilancarkan di Malaysia dengan ia bukan sahaja menawarkan telefon dengan tema buku terkemuka Harry Potter tetapi juga dengan pelbagai aksesori edisi terhad. Hanya 5000 unit ditawarkan di seluruh dunia menjadikannya produk yang di dalam kategori sama seperti peranti edisi Game of Thrones, Coca Cola dan Naruto yang pernah ditawarkan sebelum ini.

Yang menjadikannya unik ialah logo Hogwarts menunjukkan empat warna dalam dalam dunia Harry Potter yang berubah mengikut pantulan cahaya. Panel belakang pula diperbuat daripada bahan kulit dengan tekstur corak Argyle. Sementara itu bonggol kamera membuatkan lensa kelihatan seperti Hedwig, burung hantu peliharaan Harry Potter. Selain itu antaramuka peranti turut menerima tema khas pek ikon, latar belakang dan rekaan Harry Potter yang eksklusif.
Kesemua ini dimasukkan ke dalam kotak yang kelihatan seperti kotak simpanan barang Harry Potter, surat kemasukan Hogwarts, tiket kereta api Platform 9¾ , penanda buku empat rumah utama Hogwarts, poskad, pin SIM, dan kerangka khas dengan logo Hogwarts.

Realme 16 Pro 5G Harry Potter Edition dilengkapi skrin AMOLED rata 6.78″ yang menyokong kadar segar semula 144Hz. Ia dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7300 Max bersama pilihan memori 12GB RAM dan storan 512GB. Bateri berkapasiti 7000mAh turut disediakan sama seperti model Pro+ dengan pengecasan pantas 80W Ultra Charge melalui port USB-C. Dari segi fotografi, tetapan kamera terdiri daripada sensor utama 200MP, kamera ultra lebar 8MP manakala kamera hadapan pula sebesar 50MP.
Selain telefon pintar, Realme Buds T500 Pro Harry Potter Edition juga dilancarkan sekali dengan pilihan warna coklat serta kerangka simpanan khas seakan beg pelajar sekolah Hogwarts.
Di Malaysia Realme 16 Pro 5G Harry Potter Edition dijual pada harga RM 2699 manakala Realme Buds T500 Pro Harry Potter Edition dijual pada harga RM 399

Sempena pelancaran Realme 16 Pro 5G Harry Potter Edition di Malaysia, sebuah reruai khas dibuka di Blue Concourse, Sunway Pyramid daripada 21 hingga 27 September. Di acara anda pembeli peranti berpeluang menerima hadiah percuma bernilai RM1200. Pelawat pula boleh menikmati dunia fantasi Harry Potter seperti melalui proses Sorting Hat setiap pelajar baharu.