Rizalman luah syukur, Yayasan RI bina surau RM1.5 juta hasil sumbangan bersama

by Oh! Semput


9
SHARES
116
VIEWS
Posted on 07 Feb 2026 20:34:32

Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim, meluahkan rasa syukur apabila Surau Ar-Rijal di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, dirasmikan pada Jumaat lalu.

Surau bernilai RM1.5 juta itu dibina sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai dan penyumbang persendirian menerusi Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI).

Dalam suasana malam yang hening, selepas jemaah selesai menunaikan solat Isyak, Rizalman berdiri di hadapan surau itu dengan wajah penuh kesyukuran, seolah-olah masih sukar mempercayai rumah ibadah itu kini menjadi kenyataan.

Yayasan RI bina surau RM1.5 juta

alt

Bagi beliau, perasmian itu bukan sekadar acara rasmi, tetapi sebuah detik rohani yang mendalam, hadir tepat selepas beliau sendiri sujud bersama jemaah.

Rizalman mengakui tidak pernah terlintas untuk terlibat secara langsung dalam pembinaan rumah ibadah bagi komuniti Muslim tempatan.

“Jarang ada projek yang sepenuhnya bergantung kepada dana orang ramai dan penyumbang persendirian berjalan begitu lancar.
“Saya sendiri hairan… tetapi itulah nikmat ALLAH yang luar biasa,” kata Rizalman.

Jelas beliau, setiap kali memandang tempat sujud dalam surau itu, hatinya tertanya-tanya bagaimana proses yang sepatutnya sukar menjadi begitu mudah, begitu cepat, dan diberkati.

“Perjalanan Yayasan RI dalam projek ini terlalu sukar digambarkan dengan kata-kata kerana ia seolah-olah dipandu oleh pertolongan Allah dari mula hingga akhir,” tambahnya.

alt

Rizalman turut mengimbas kembali bahawa setahun lalu, tapak surau itu hanyalah kawasan kosong.

Namun, pada malam perasmian, ruang yang sebelum ini kosong hidup dengan suara takbir dan jemaah yang khusyuk.

Beliau menegaskan, sentuhan reka bentuk surau itu sedikit sebanyak membawa identiti dirinya sebagai bekas pereka fesyen, namun tetap mengekalkan kesederhanaan yang dituntut dalam pembinaan rumah Allah.

Nilai sebenar surau, katanya, bukan pada rekabentuk, tetapi pada jiwa ibadah yang menghidupkan setiap ruang.

Rizalman, 55, mengingatkan bahawa antara amalan yang mengangkat martabat seorang Muslim di sisi Allah adalah membina masjid atau surau.

“Kami di Yayasan RI telah diberi peluang melaksanakannya dan ia menjadi ruang untuk para penyumbang yang mungkin tidak sempat membina surau sendiri meraih pahala ini,” katanya.

alt

Tambah beliau, setiap sumbangan bukan sekadar angka, tetapi peluang menuju syurga yang Allah bukakan buat hamba-Nya.

Rizalman turut mengingatkan manusia supaya bergantung sepenuhnya kepada Allah, bukannya hanya kepada sesama makhluk.

Surau Ar-Rijal, jelasnya, menjadi bukti bahawa apabila manusia berserah kepada Tuhan, perkara yang mustahil boleh menjadi nyata.

alt

Dalam masa sama, Rizalman merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua penderma, sukarelawan, dan masyarakat setempat yang menjayakan projek ini.

Artikel lain: Tahniah! Datuk Rizalman dilantik Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Pada malam yang penuh syahdu itu, terpancar di wajah beliau keinsafan bahawa setiap amal kebaikan, walau kecil, akan kembali kepada pelakunya dengan ganjaran yang tidak terjangka.

: Sinar Harian

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts