by Oh! Semput
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa cadangan penubuhan sekretariat Rumah Bangsa Malaysia oleh United Malays National Organisation (UMNO) dilihat sebagai usaha parti itu untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam politik Melayu.
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan setakat ini perkara tersebut belum dibincangkan di peringkat partinya walaupun sudah menjadi perbualan dalam kalangan pemimpin politik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin di Wisma Darul Aman di Kedah.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Perikatan Nasional berkata, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dan Melayu dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah serta mengembalikan kuasa politik orang Islam.

Pada masa sama, beliau menegaskan sebarang kerjasama politik perlu dilakukan secara ikhlas dan bukan sekadar strategi sementara.

Sekadar info, Rumah Bangsa merujuk kepada cadangan penubuhan sebuah sekretariat atau platform yang dibawa oleh United Malays National Organisation (UMNO) untuk menghimpunkan pelbagai pihak dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta membincangkan isu berkaitan kepentingan negara.
Inisiatif ini dilihat sebagai ruang dialog dan kerjasama melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan serta tokoh masyarakat bagi mencari titik persamaan dalam hal-hal yang menyentuh rakyat.
: Berita Harian (Noorazura Abdul Rahman)