by Oh! Semput
KUANTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan sembilan projek pembangunan di Pahang menerusi Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kos keseluruhan RM655.7 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata daripada jumlah itu, Kementerian Kerja Raya meluluskan projek bernilai RM628.2 juta, manakala Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan dua projek fizikal membabitkan pembinaan dan naik taraf jalan serta jambatan luar bandar bernilai RM27.5 juta.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang berjaya menyiapkan 13 projek bangunan dan kemudahan awam dengan kos kontrak RM174.62 juta, manakala enam lagi projek dijangka siap bulan depan dengan kos RM66.48 juta.
"Bagi 2027, terdapat 27 projek dijangka siap, iaitu 20 projek Persekutuan dengan kos kontrak RM179.57 juta dan tujuh projek peruntukan negeri dengan kos kontrak RM94.01 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Pahang 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu, Razali berkata, tiga stesen perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang, iaitu Paya Besar, KotaSAS dan Cherating dikenal pasti berpotensi dihubungkan menerusi penambahbaikan rangkaian bas BAS.MY Kuantan.
"Cadangan tersebut telah diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan melalui Kementerian Pengangkutan," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah itu turut memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menyusun semula serta menambah kapasiti tempat letak kereta di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini menerusi penggunaan sistem parkir mekanikal.
Beliau berkata, KKM melantik syarikat swasta sebagai pengendali pengurusan tempat letak kereta di hospital itu bermula 1 November, dengan pembinaan parkir berkenaan dijadual bermula April 2027 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun sama.
"Untuk tempoh tiga bulan pertama, pihak syarikat akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf tempat letak kereta di sekitar hospital. Bayaran caj akan mula dikenakan seawal Mac 2027 mengikut kadar caj yang telah diluluskan oleh pihak kementerian," katanya.
Razali berkata, syarikat sama turut menyediakan kemudahan perkhidmatan letak kereta valet bagi memudahkan waris pesakit mendapatkan tempat letak kenderaan dengan kadar segera semasa berurusan di hospital ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang akan meneruskan Program Bantuan Rawatan Kesuburan IUI (BuAi) tahun depan.
Beliau berkata, program itu adalah inisiatif kerajaan bagi meringankan beban pasangan yang berdepan kesukaran mendapatkan zuriat, selain memberi peluang menjalani rawatan kesuburan peringkat awal pada kos lebih mampu milik di Klinik Nur Sejahtera LPPKN.
"Penurunan kadar kesuburan yang pantas menjadikan negara menua lebih cepat daripada jangkaan. Isu pasangan suami isteri yang menghadapi kesukaran mendapatkan zuriat serta kos rawatan kesuburan yang mahal turut menjadi perhatian kerajaan," katanya.#BeritaHarian