by Oh! Semput
Kehadiran Tan Sri Noh Omar pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor menjadi perhatian ramai, bersama dua lagi bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyerahkan borang keahlian kepada ketiga-tiga pemimpin veteran itu, dengan disaksikan lebih 10,000 jentera yang hadir pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi BERSATU mengakui tertarik dengan pendirian tegas UMNO dan BN Johor yang menolak kerjasama dengan DAP.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu dilihat selari dengan prinsip perjuangannya sejak sekian lama.

Noh merupakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam Kabinet termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau sebelum ini digugurkan keahlian daripada UMNO pada Januari 2023 sebelum menyertai BERSATU.
Menurut Noh, keputusan meninggalkan BERSATU dibuat serta-merta selepas mendakwa parti itu tidak konsisten dalam menghormati keputusan Majlis Tertinggi parti.
Artikel lain: Tiada perpecahan berlaku! UMNO parti politik paling stabil berbanding lain- Zaidi
Beliau turut menyuarakan harapan agar UMNO dan PAS dapat kembali menjalinkan kerjasama bagi memperkukuh perpaduan Melayu serta membentuk kerajaan tanpa bergantung kepada parti lain.
Bagaimanapun, Noh enggan mengulas lanjut mengenai pendirian politik anaknya, Nurul Syazwani, yang kini masih merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang mewakili BERSATU.
: Berita Harian (Azizi Majid)