Setujukah Kit Siang Cadangan Satu Logo, Satu Simbol Oleh PPBM?

by Oh! Semput


3
SHARES
42
VIEWS
Posted on 20 Mar 2017 06:00:29

Kit Siang

REAKSI Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini dinanti bagi mengulas mengenai cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu logo dan simbol pakatan pembangkang, Pakatan Harapan ditukar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Persoalannya, adakah Kit Siang yang merupakan pemimpin de facto dalam pembangkang akan bersetuju?

Umum mengetahui, Kit Siang sebenarnya merupakan ketua umum pembangkang dan Ahli Parlimen Gelang Patah itu bertanggungjawab membuat segala keputusan di dalam Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini pernah memaklumkan bahawa, DAP tidak boleh lagi cuba berselindung mengenai perkara itu memandangkan parti tersebut memiliki paling banyak kerusi dalam kalangan parti pembangkang.

Pada 14 Mac 2017, Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa partinya mencapai persetujuan mengenai beberapa perkara berhubung pakatan gabungan yang bakal dibentuk bagi menghadapi PRU-14.

Beberapa perkara diputuskan secara rasmi sebagai ketetapan kewujudan sebuah pakatan termasuklah sentiasa terbuka menerima apa juga parti yang berminat menyertai gabungan itu.

Persetujuan turut dicapai bagi menyesuaikan nama gabungan yang dipersetujui parti pakatan yang bakal dibentuk tidak lama lagi.

PPBM secara prinsip bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo, satu simbol dan manifesto yang sama bagi pakatan.

PPBM juga setuju dan memutuskan hanya satu calon sahaja diletak mewakili parti gabungan yang bakal dibentuk nanti.

Isunya, adakah PPBM dan Mahathir telah memaklumkan kepada Kit Siang mengenai perkara itu?

Umum mengetahui semua parti di dalam Pakatan Harapan mempunyai agenda politik dan kepentingan mereka sendiri.

Jadi, adakah cadangan PPBM itu akan berjaya direalisasikan?

Adakah parti lain dalam Pakatan Harapan akan tunduk dan patuh kepada DAP khususnya keputusan akhir Kit Siang?

Apa sahaja cadangan mereka perlu mendapat restu daripada Kit Siang sebelum ia boleh direalisasikan.

Cadangan boleh dibuat oleh parti lain dalam Pakatan Harapan, tetapi akhirnya keputusan mesti di tangan Kit Siang.

Dalam pada itu, sejak dari dahulu lagi, pembangkang di negara ini dikenali kerana Kit Siang dan bukan kerana Mahathir.

Jadi, siapakah Mahathir dan PPBM untuk membuat cadangan tersebut?

Idea untuk mendaftarkan pakatan pembangkang dan bertanding di atas satu logo dan satu simbol sudah ditolak oleh mereka awal-awal lagi sebelum ini.

Banyak cadangan sudah diberikan tetapi hanya ditolak mentah-mentah.

Parti PAN sebelum ini sudah mencadangkan mahu blok pembangkang menggunakan satu logo sahaja ketika bertanding PRU-14.

Presiden PAN, Mohamad Sabu ketika berucap di Konvensyen Nasional parti itu pada 10 Disember 2016 berkata, DAP, PKR, dan PPBM perlu berada di bawah satu logo untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Idea itu sudah timbul sebelum ini, tetapi tidak langsung diendahkan oleh DAP dan Kit Siang.

Pada 15 Mac 2017, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub mengenepikan hasrat Mahathir dan PPBM itu dan berkata hal untuk membuat perubahan boleh dibincangkan kemudian.

DAP tidak akan bersetuju pakatan pembangkang menggunakan satu logo bagi melawan BN pada PRU-14 kerana parti itu bimbang bakal hilang sokongan.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim pada 15 September 2016 ada memaklumkan bahawa logo roket merupakan simbol kekuatan DAP terhadap komuniti pengundi Cina.

Jika menggunakan logo lain, parti itu berisiko kehilangan sebahagian undi daripada kaum tersebut.

Pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor pada Jun 2016 , DAP mengakui telah berhadapan dengan cabaran besar untuk memperkenalkan logo PAN dalam komuniti Cina.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, segelintir masyarakat Cina di kawasan Sekinchan, Selangor memaklumkan mereka keliru dengan simbol PAN kerana sebelum ini mereka hanya melihat simbol roket sahaja.

Ternyata DAP sebelum ini telah mempersendakan impian Mahathir untuk mewujudkan logo bersama Pakatan Harapan menyifatkan cadangan itu hanya bermatlamat jangka masa pendek.

Malahan, Ahli Jawatankuasa DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu tidak penting dan PPBM dinasihatkan untuk mengutamakan rangka kerja bersama sebelum memikirkan soal tersebut.

Adakah Mahathir telah meyakinkan Kit Siang dan telah ada pakatan antaranya dengan penasihat DAP itu?

Apa keputusan Kit Siang mengenai cadangan PPBM itu, sama-sama kita menantikannya.

Yang pastinya, cadangan sedemikian hanya dipandang sepi oleh DAP terutamanya Kit Siang sebelum ini.

Pasti ia hanya menjadi cadangan yang terus diperlekeh DAP kerana kuasa dan nafsu peribadi parti itu untuk memerintah negara tanpa campur tangan atau sebarang nasihat daripada parti lain di dalam Pakatan Harapan sendiri.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts