by Oh! Semput
Lima negeri, tujuh kerusi Parlimen dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dijelajahi veteran DAP berusia 76 tahun ini sejak 1969.
Setiap kali masuk musim pilihan raya umum (PRU), Kit Siang sibuk menjengah kawasan baharu untuk ditandinginya.
Dengar cerita untuk PRU-14 nanti, Kedah dan pangkalan lamanya, Pulau Pinang menjadi sasarannya.
Barangkali Kit Siang cukup maklum dan mengerti penyokong Cina DAP tidak bersifat ‘kedaerahan’.
Sebaliknya terarah ‘federalisme’. Dari aspek memahami psikologi penyokong tegarnya, Kit Siang mungkin menang.
Cuma, kalau benarlah Kit Siang ini ‘hebat’ dan mahu menyerlahkan sifat ‘persekutuan’nya, kenapa hanya bertanding di kawasan majoriti Cina?
Mengapa tidak di kawasan pengundi bercampur (50-50 pengundi Cina dan Melayu).
Masuklah gelanggang Parlimen Putrajaya, Pekan, Bagan Datuk atau Bera kah?
Kalau kata takut kalah, tidak yakinkah pada jentera DAP di situ?
Apakah dahulu di kawasan pengundi bercampur, DAP serahkan tanggungjawab pancing pengundi kepada sekutunya PKR belaka.
Dan PKR pula bergantung kepada jentera Pas?
Tapi bila Pas enggan tunduk kembali ke pakatan harapan, DAP singkirkan Pas dan berpaling pula ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?
Alasan Kit Siang sebelum ini dari gelagat ‘pindah-randah’ bertanding kononnya ‘sebagai satu strategi kerana DAP mahu mengadakan gerakan berbentuk politik di seluruh negara bagi membangkitkan kesedaran rakyat’.
Ungkapan itu mudahlah diluahkan demi agenda peribadi.
Tapi bagaimana nasib pengundi untuk mendapatkan khidmat wakil rakyat mereka?
Takkanlah pengundi Cina di Gelang Patah misalnya masih mengharapkan menteri Pusat membantu mereka.
Namun bila mengundi, calon MCA dan Gerakan disingkirkan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sikap berdolak-dalik Kit Siang dalam pemilihan kawasan yang mahu ditandingi juga mengaburi masyarakat di sebalik kegagalannya berkhidmat kepada rakyat di kawasannya.
“Sejak dulu pun Kit Siang hanya bertanding sepenggal di kawasan yang ditandingi kecuali Ipoh Timur selama dua penggal. Beliau seperti calon bidan terjun bukan mahu berkhidmat pun.
“Dia (Kit Siang) suka berdolak-dalik dan tidak berani pun memberi kepastian sama ada untuk kekal di Gelang Patah atau bertanding di tempat lain apabila ditanya berikutan masyarakat di kawasannya, di Gelang Patah sudah mula bosan dan mempertikaikan peranannya sebagai Ahli Parlimen yang gagal menjalankan tugas.
“Oleh sebab itulah Kit Siang tidak berani beri jaminan akan kekal bertanding di Gelang Patah kerana bimbang masyarakat semakin mempertikainya,” katanya.
Semalam Kit Siang dilaporkan tidak menolak kemungkinan mencari kawasan `baharu’ untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Kit Siang dilaporkan berkata, walaupun Parlimen Gelang Patah menjadi keutamaannya tetapi jika ada permintaan atas faktor strategik kemenangan parti, beliau akan memikirkan perkara berkenaan.
Nampaknya ramai pemimpin DAP tidak berani bercakap di luar (mengenai perkara ini) dan mereka akan berterima kasih kepada BN yang mengatakan bahawa sudah tiba masanya Kit Siang bersara.