by Oh! Semput
BERA: Pencerobohan yang berlaku di kawasan Tasik Bera, Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) pertama negara di sini, mencetuskan persoalan besar dalam kalangan masyarakat iaitu siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab memantau dan menjaga kawasan berstatus antarabangsaa tersebut.
Walaupun pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta Pejabat Daerah dan Tanah Bera dikatakan terlibat dalam operasi penguatkuasaan, namun aktiviti penerokaan haram tetap berleluasa sehingga menimbulkan kebimbangan kehilangan pengiktirafan RAMSAR.
Persoalan itu semakin mendesak apabila lebih 7,000 hektar kawasan hutan simpan dilaporkan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan sekali gus menjejaskan biodiversiti unik Tasik Bera yang menjadi kebanggaan negara sejak 1994.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan reputasi negara di mata dunia.
“Jika pencerobohan ini berterusan, Malaysia berisiko kehilangan pengiktirafan Ramsar yang menjadi simbol komitmen kita terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya di sini semalam.
Ahmad berkata, pemantauan saintifik yang berterusan perlu dilaksanakan dengan melibatkan universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan data ekologi sentiasa dikemas kini.
Selain itu, katanya, program Komunikasi Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) harus diperluas kepada komuniti sekitar Tasik Bera supaya masyarakat benar-benar memahami tanggungjawab menjaga tapak RAMSAR.
“Kerjasama masyarakat setempat bersama pihak berkuasa adalah kunci. Tanpa sokongan komuniti, penguatkuasaan sahaja tidak akan mencukupi,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan bilangan pegawai penguat kuasa ditambah, khususnya dari Perhilitan dan Jabatan Perhutanan bagi memperkukuh kawalan di kawasan Tasik Bera.
“Ini bukan sekadar isu pencerobohan hutan tetapi soal maruah negara dalam mengekalkan status antarabangsa Tasik Bera sebagai tapak RAMSAR,” tegasnya.
Baru-baru ini, Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak RAMSAR sejak 1994 kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar dilaporkan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan sudah diambil bagi memastikan penerokaan haram terhadap kawasan diwartakan pada 30 Ogos 2007 ini dapat dibanteras. #UtusanMalaysia