by Oh! Semput

KOTA KINABALU, 24 Nov – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Bajet Negeri 2017 selepas empat hari dibahaskan anggota-anggota DUN Barisan Nasional dan pembangkang.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata bajet berjumlah RM3.784 bilion itu diyakini dapat memberi manfaat kepada semua golongan di Sabah.
“Inilah bajet yang pertama kali memperuntukkan sebanyak RM53 juta peruntukan khas sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada untuk golongan memerlukan dan sektor-sektor penting.
“Tidak ada golongan yang memerlukan akan terpinggir daripada menikmati bantuan atau kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN itu ditangguhkan di sini, hari ini.
Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, juga berpuas hati dengan penglibatan semua ADUN pada persidangan itu dengan mereka saling menghormati walaupun berbeza pendapat.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita bersikap terbuka. Kita mengalu-alukan dan menghargai apa juga cadangan positif dan pandangan bernas yang dikemukakan ADUN termasuk dari pembangkang,” katanya.
Musa berkata persidangan DUN kali ini banyak membincangkan isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu bekalan air dan projek luar bandar.
Beliau berkata kerajaan negeri telah memberi penjelasan menyeluruh agar rakyat mendapat gambaran sebenar dan tidak terpengaruh dengan persepsi negatif golongan tertentu berhubung hak Sabah dalam MA63. Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Negeri, Musa mengakui hasil negeri masih banyak bergantung kepada royalti minyak petroleum dan cukai jualan minyak kelapa sawit (CPO).
“Bagi tahun depan, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk mengurangkan tunggakan hasil negeri dan meningkatkan pulangan melalui pembayaran dividen menerusi badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat kerajaan negeri.
“Oleh itu, selagi faktor-faktor yang di luar kawalan Kerajaan Negeri memihak kepada Kerajaan Negeri, kemungkinan mencapai sasaran Anggaran Hasil 2017 tidak seharusnya menjadi satu permasalahan,” katanya.
Musa turut memaklumkan bahawa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bertemu dengannya untuk membincangkan pelaksanaan pelbagai projek kementerian di Sabah.
“Pertemuan dan permuafakatan ini telah memberikan hasil yang positif, di mana pihak kementerian (Ismail Sabri) memperuntukkan sejumlah RM226.62 juta bagi 2016 hingga 2020 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB),” katanya.
Peruntukan itu bertujuan melaksanakan tanaman semula sawit di kawasan peneroka di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Merotai selain membangunkan geran komunal Bombong di Kota Marudu, Kabintaluan di Tenom dan Sumatalun di Nabawan.
“Saya difahamkan bahawa sebelum ini, SLDB tidak pernah mendapat sebarang peruntukan daripada KKLW yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat khususnya masyarakat di luar bandar,” kata Musa.
Menurutnya Ismail Sabri turut memaklumkan kepadanya mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa bersama di antara KKLW dengan kerajaan negeri bertujuan untuk memantau dan menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dengan apa juga projek yang hendak dilaksanakan di Sabah.
Sidang Dun Sabah Lulus bajet negeri 2017