by Oh! Semput
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya setiap daerah di negeri ini mempunyai visi jelas, perancangan jangka panjang dan pentadbiran bijaksana bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Baginda bertitah, pihak pentadbiran daerah perlu mempunyai perancangan rapi dan berpandangan jauh, bukannya melaksanakan pembangunan secara ad hoc tanpa hala tuju yang jelas.
"Ketiadaan perancangan jangka panjang boleh mencerminkan kelemahan dalam pentadbiran. Peringatan ini bukan sahaja ditujukan kepada daerah Rompin, tetapi juga kepada semua daerah di Pahang. Saya berharap agar setiap daerah mengambil perhatian terhadap perkara ini.
Sultan Pahang bertitah demikian semasa menyempurnakan Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin di Pantai Hiburan dekat Rompin, hari ini.
Baginda bertitah Rompin yang juga daerah kedua terbesar di Pahang mempunyai potensi pembangunan besar, khususnya melalui keistimewaan khazanah alam semula jadi, kawasan pesisir pantai dan pulau yang menjadi tarikan pelancongan.
Di samping itu, Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan kedudukan Rompin bersempadan dengan Johor sebagai kelebihan strategik berpotensi membolehkan daerah itu menikmati limpahan ekonomi daripada pembangunan pesat negeri jiran berkenaan.
Menyentuh potensi pelancongan, baginda bertitah supaya cadangan menyediakan perkhidmatan feri, menghubungkan tanah besar dengan Pulau Tioman dan pulau di sekitarnya dikaji bagi meningkatkan kemudahan perhubungan untuk penduduk serta pengusaha pelancongan.
"Saya sedar bahawa usaha ini mungkin memerlukan peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan. Namun, kemudahan sedemikian boleh memberikan manfaat kepada pengusaha pelancongan, komuniti perniagaan dan penduduk setempat selain membantu meningkatkan akses kepada pulau berkenaan.
"Kadangkala, kerajaan tidak boleh hanya melihat sesuatu perkhidmatan daripada sudut keuntungan semata-mata. Sebaliknya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," titah Sultan Pahang.
"Saya mahu setiap daerah mempunyai daya saing tersendiri. Persaingan sihat antara satu daerah dengan daerah yang lain akan menjadi petunjuk positif kepada kemajuan dan pembangunan negeri secara keseluruhannya," titah baginda yang dimuat naik dalam Portal Rasmi Istana Pahang. #BeritaHarian