Susulan Kenyataan Onn Hafiz Ghazi: Pemuda PAS Pahang Persoalkan Pendirian Menteri Besar Pahang Berhubung Kerjasama Dengan DAP

by Oh! Semput


5
SHARES
61
VIEWS
Posted on 08 Jun 2026 13:31:53

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mempersoalkan pendirian Menteri Besar Pahang berhubung kerjasama dengan DAP susulan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada duduk semeja dengan parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kenyataan yang dibuat secara terbuka ketika pelancaran jentera BN Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian pemimpin Umno dan BN di negeri lain, termasuk Pahang.

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sama ada Menteri Besar Pahang turut berkongsi pendirian yang sama atau sebaliknya.

“Persoalannya, apakah pendirian yang sama turut dipegang oleh Menteri Besar Pahang? atau ini sekadar cakap-cakap politik untuk menipu pengundi dan rakyat semata-mata.

“Jika Menteri Besar Johor sanggup mempertaruhkan jawatannya demi mempertahankan prinsip politik yang diperjuangkannya, rakyat Pahang berhak mengetahui sama ada Menteri Besar Pahang mempunyai keberanian yang sama atau sekadar tunduk kepada percaturan politik yang diputuskan oleh pimpinan pusat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Azlan berkata, situasi semasa yang menyaksikan Umno dan BN berada dalam kerajaan Persekutuan bersama DAP turut menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian parti itu.

Katanya, tindakan pemimpin BN di Johor yang dilihat cuba menjarakkan diri daripada DAP ketika berdepan rakyat negeri itu menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan pendirian politik mereka.

“Politik yang berprinsip tidak boleh berubah mengikut negeri atau musim pilihan raya. Jika DAP dianggap tidak sesuai untuk bersama dalam kerajaan negeri di Johor, apakah yang menjadikan DAP sesuai di Pahang dan di Putrajaya?

“Kenyataan Menteri Besar Johor telah membuka ruang perbahasan yang lebih besar mengenai hubungan sebenar antara Umno, BN dan DAP. Rakyat semakin bijak menilai sama ada sesuatu pendirian itu lahir daripada prinsip atau sekadar retorik politik menjelang pilihan raya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Besar Pahang tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung pendirian kerajaan negeri terhadap isu berkenaan.

“Rakyat Pahang ingin mengetahui adakah Menteri Besar Pahang bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Johor? Adakah beliau juga lebih rela melepaskan jawatan daripada bekerjasama dengan DAP?

“Adakah Menteri Besar Pahang sanggup melepaskan jawatan atau membubarkan Dun daripada duduk semeja dengan DAP? Jika tidak, mengapa wujud pendirian yang berbeza antara Johor dan Pahang dalam isu yang sama?

“Dewan Pemuda PAS Pahang menyeru Menteri Besar Pahang tampil memberikan penjelasan yang jelas dan terbuka kepada rakyat. Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya sama ada prinsip politik yang dilaungkan selama ini masih wujud atau sudah dikorbankan demi mempertahankan kuasa.

“Jika Johor berani berkata tidak kepada DAP, mengapa Pahang masih membisu? Adakah di Pahang Umno dan BN bahagia bersama DAP seperti mana yang pernah disuarakan oleh Nga Kor Ming satu kalimah keramat iaitu UMDAP MANTAP? Renung-renungkan…,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Onn Hafiz telah menolak untuk kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, realiti politik di negeri itu berbeza di peringkat Persekutuan apabila kerjasama BN khususnya Umno dan DAP tidak pernah terjalin selama ini. #harakahdaily

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts