by Oh! Semput
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pemansuhan arahan kawalan penjualan diesel bagi kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai hari ini, sekali gus menamatkan had pembelian diesel yang sebelum ini ditetapkan pada 50 liter, 100 liter dan 150 liter.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan mekanisme baharu di bawah Program BUDI Diesel yang membolehkan pengguna yang layak membeli diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak.
Menurut beliau, pembatalan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 itu juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun lalu mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter.
Katanya, dengan pelaksanaan sistem baharu itu, kawalan tidak lagi dibuat berdasarkan had kuantiti pembelian, sebaliknya melalui pengesahan identiti pengguna yang layak menerima subsidi.
Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol dan diesel di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Azman berkata, KPDN yakin mekanisme berasaskan MyKad itu akan menjadikan pengagihan diesel bersubsidi lebih bersasar, telus dan berkesan, selain membantu mengurangkan ketirisan serta penyalahgunaan subsidi.
Beliau turut menggesa semua pengusaha stesen minyak dan pengguna supaya mematuhi sepenuhnya prosedur baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan Program BUDI Diesel berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar layak menerima subsidi kerajaan.
KPDN Tamatkan Had Pembelian Diesel Di Sabah, Sarawak dan Labuan Mulai Hari Ini first appeared on #1 The News Malaysia.