by Oh! Semput

ANGGOTA keselamatan Afghan bersiap sedia di daerah Maiwand, di wilayah Kandahar, Afghanistan. – Foto EPA
KANDAHAR: Tiga tentera Amerika Syarikat cedera apabila askar Afghanistan melepaskan tembakan di wilayah Helmand, kata pegawai, dalam kejadian ‘serangan dalaman’ pertama ke atas tentera antarabangsa tahun ini.
Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab atas serangan di Kem Antonik di daerah Washer setakat ini, yang menyerlahkan ketegangan sekian lama antara tentera Afghanistan dan pasukan luar.
“Tiga anggota tentera AS cedera tengah hari ini apabila seorang askar Afghanistan melepaskan tembakan ke arah mereka di pangkalan tentera di Helmand.
“Tentera pakatan di pangkalan kemudian menembak mati askar terbabit untuk menghentikan serangan.
“Mereka kini menerima rawatan perubatan dan kami akan memberikan lebih banyak maklumat apabila memperolehinya,” kata jurucakap tentera AS.
Anggota tentera Afghanistan juga maut dalam kejadian itu, kata jurucakap wilayah Helmand, Omar Zwak.
Pentagon berkata, ia akan menempatkan kira-kira 300 tentera pasukan Marin di wilayah Helmand pada musim panas ini, yang pernah menyaksikan tentera AS terbabit dalam pertempuran sengit sehingga mereka berundur pada 2014. – AFP
Category: Dunia