by Oh! Semput
Sebanyak 301 keluarga menerima surat tawaran penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip di Mukim Chembong hari ini, sekali gus menandakan fasa baharu pelaksanaan projek perumahan mampu milik di Negeri Sembilan.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, Arul Kumar A/L Jambunathan.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), projek berkenaan menerima 2,683 permohonan, iaitu lebih lima kali ganda daripada jumlah unit ditawarkan, mencerminkan permintaan tinggi terhadap kediaman mampu milik.

Tegas KPKT, proses pemilihan dibuat secara berfasa dan berfokus kepada golongan miskin tegar berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah serta kumpulan sasar yang layak berdasarkan kriteria kebajikan.
Sementara itu, Aiman Athirah menegaskan agenda perumahan negara bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya membina kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh.
“Kita mahu kestabilan tempat tinggal ini menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial yang lebih baik, selain membasmi belenggu kemiskinan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Projek PPR Rembau yang dibangunkan sejak 2020 itu melibatkan kos RM91.2 juta dengan pembinaan 452 unit rumah teres satu tingkat di atas kawasan seluas 39.70 ekar, termasuk empat unit khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
Setiap unit berkeluasan 700 kaki persegi dilengkapi kemudahan asas seperti dewan komuniti, surau, tadika, taman permainan dan medan selera bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih lengkap dan selesa.


Projek ini turut dilaksanakan melalui skim Sewa-Untuk-Milik (Rent-To-Own, RTO) dengan kadar sewaan RM225 sebulan, disokong pelaksanaan oleh Jabatan Perumahan Negara dan pengurusan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia.
Fasa pertama sebelum ini telah menyaksikan 151 unit diisi, menjadikan keseluruhan penyerahan berjalan secara berperingkat mengikut pelaksanaan projek.






Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa agenda perumahan mampu milik selaras aspirasi Malaysia MADANI, dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.