Tingkatkan Penguatkuasaan Bendung Perokok Bawah Umur

by Oh! Semput


8
SHARES
106
VIEWS
Posted on 29 Mar 2017 05:00:56

Perokok

CADANGAN pihak kerajaan untuk menaikkan had umur pembeli rokok daripada 18 tahun kepada 21 tahun perlu dilihat secara positif serta disambut baik oleh semua pihak dalam negara kita kerana ia sedikit sebanyak dapat membendung masalah perokok di kalangan bawah umur serta pada masa yang sama mencegah golongan muda dalam negara kita daripada terjebak ke kancah ketagihan merokok.

Usaha yang sama juga akan diambil oleh negara jiran kita, Singapura apabila pada awal bulan yang lalu, mereka telah mengumumkan langkah yang sama untuk menaikkan had usia merokok dari 18 tahun ke 21 tahun di negara mereka.

Langkah yang ingin diambil oleh mereka akan dilaksanakan untuk tempoh beberapa tahun yang melibatkan larangan penjualan rokok kepada mereka yang berada dibawah umur serta larangan penjualan bahan-bahan yang mempunyai kesan yang sama dengan rokok terhadap golongan bawah umur.

Dengan langkah terbaru yang diambil, Malaysia dan Singapura menjadi dua buah negara di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan langkah berkenaan.

Walaupun langkah yang diambil adalah baik bagi mengatasi isu yang dibangkitkan, namun ianya akan menjadi sia-sia sekiranya tiada tindakan tegas dari sudut penguatkuasaan diambil bagi membendungnya.

Pada masa kini, kita telah pun memiliki peraturan berkaitan yang melarang penjualan rokok kepada golongan bawah umur 18 tahun.

Walaupun begitu, sering kali kita melihat golongan bawah umur terbabit dengan tanpa segan silu menghisap rokok.

Malah ada yang lebih berani menghisap rokok dikhalayak ramai.

Persoalan kini timbul, dari manakah golongan bawah umur berkenaan memperolehi rokok terbabit?

Adakah ia diberikan oleh orang-orang tertentu?

Atau mereka sendiri membeli rokok terbabit dari kedai?

Jika ini berlaku maka jelas terdapat perlanggaran peruntukkan undang-undang yang berkaitan dalam negara kita.

Oleh itu, satu tindakan yang lebih tegas dan secara beterusan harus diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan terhadap mana-mana penjual rokok yang tidak bertanggungjawab yang terus menjual hasil tembakau dan rokok kepada golongan kanak–kanak dan remaja yang belum mencapai umur 18 tahun.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu kerap sentiasa melancarkan operasi penguatkuasaan Peraturan–Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dibawah Akta Makanan 1983 (Akta 281) yang sedia ada bagi mensasarkan penguatkuasaannya terhadap larangan penjualan hasil tembakau kepada orang belum dewasa, larangan orang belum dewasa merokok atau memiliki hasil tembakau dan tanggungjawab penjual–penjual rokok untuk mempamerkan tanda larangan jualan hasil tembakau kepada orang di bawah umur 18 tahun dalam negara kita.

Peraturan terbabit memperuntukkan bahawa orang yang belum dewasa ataupun yang berada dibawah umur terbabit bermaksud mana–mana orang yang umurnya di bawah lapan belas tahun.

Peraturan 8 (1) & (2) memperuntukkan dengan jelas tiada seorang pun boleh menjual apa–apa hasil tembakau kepada orang yang belum dewasa.

Mana–mana orang yang melanggar peraturan terbabit rnelakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak rnelebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama ternpoh tidak melebihi dua tahun.

Peraturan 13 (1) juga memperuntukkan bahawa mana–mana orang belum dewasa yang didapati rnerokok, mengunyah, membeli atau mempunyai dalam milikannya apa–apa hasil tembakau sama  ada untuk kegunaannya sendiri atau tidak melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit.

Peraturan 14 (1) juga memperuntukkan kepada semua penjual kedai yang menjual rokok untuk mempamerkan dengan cara yang mudah dilihat suatu tanda berkenaan dengan larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa di kaunter di mana hasil tembakau dipamerkan atau ditawarkan untuk jualan.

Mana–mana pekedai yang melanggar peraturan ini adalah dianggap melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan dengan kesalahan terbabit boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Dalam menangani isu ini, tumpuan yang sama juga patut diberi terhadap pengunaan bahan-bahan yang mempunyai rupa serta kesan yang sama seperti rokok seperti rokok elektronik dan shisha.

Oleh itu, pihak kerajaan juga disaran untuk merangka satu akta yang lebih jelas serta khusus dalam mengatasi masalah yang berkaitan dengan isu ini dalam negara kita.

Dalam membanteras tabiat merokok dikalangan mereka yang berada dibawah umur ini, aspek pendidikan juga perlu diberi perhatian serius ketika di rumah dan sewaktu berada di sekolah.

Ibu bapa dan para guru memainkan peranan yang penting dalam memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak serta pelajar mereka supaya tidak terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat ini.

Pada masa yang sama, ibu bapa serta guru yang merokok juga dinasihatkan supaya berhenti terus daripada merokok bagi menunjukkan teladan yang baik kepada anak–anak dan pelajar–pelajar mereka.

Usaha ini tidak akan berjaya jika tiada sokongan padu daripada semua pihak bagi melahirkan rakyat yang lebih sihat dari segi mental dan fizikal di masa akan datang.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts