by Oh! Semput
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kebimbangan terhadap pertelingkahan sesama orang Melayu dan umat Islam sebagai tepat pada waktunya.
Menurut beliau dalam kenyataan rasmi, keadaan itu berlaku ketika terdapat pihak tertentu yang cuba meniup sentimen perkauman, agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
Katanya, titah baginda sempena Hari Raya Aidiladha turut menekankan kepentingan perpaduan umat, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan tanggungjawab rakyat dalam memelihara keamanan serta kestabilan negeri dan negara.
Amirudin berkata, Malaysia dibina atas semangat muafakat, persefahaman dan keluhuran undang-undang, bukannya kebencian kaum atau ketakutan agama.
Beliau turut menggesa rakyat menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami latar belakang serta mukadimahnya.

Beliau turut menegaskan Malaysia diasaskan sebagai sebuah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, justeru sebarang cubaan mengherotkan sejarah negara atau menanam kebencian antara kaum demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti yang dizahirkan menerusi titah Sultan Selangor.
: Facebook Amirudin Shari