(Ulasan) Google Pixel 11 Pro — Pilihan Tepat Jika Anda Rancang Kembali Ke Pixel

by Oh! Semput


3
SHARES
39
VIEWS
Posted on 26 Aug 2026 04:00:14

Google Pixel kini berada pada iterasi yang kesebelas. Jadi, apa yang baharu?

Jawapannya, “AI, tetapi bukan itu sahaja.”

Penguasaan

Apabila kita melihat sekilas pada spesifikasinya, ia kedengaran mantap (bagi varian yang saya cuba ini).

Telefon ini dilengkapi dengan WiFi 7, Bluetooth 6.0, RAM 16GB dan storan 512GB yang sepatutnya mencukupi pada tahun 2026.

Tetapi, apa yang kurang meyakinkan adalah cip. Telefon ini dikuasai oleh Google Tensor G6, iaitu cip buatan Google sendiri, dan ia dikilangkan oleh TSMC. Jadi, sepatutnya, cukup mantap, bukan?

Ya, skor AnTuTu bagi cip ini cukup tinggi, iaitu 1.4 juta. Walau bagaimanapun, ini hanya setanding dengan cip seperti Dimensity 8400 dan Snapdragon 8 Gen 2 yang telah keluar beberapa tahun yang lalu.

Skor AnTuTu.

Bukanlah telefon ini tidak boleh digunakan untuk gaming langsung. Saya telah pun cuba bermain Alien: Isolation dan Where Winds Meet, dan kedua-duanya boleh dimainkan, cuma bukan pada prestasi yang menakjubkan.

Banyak isu grafik glitching, terutama dalam Where Winds Meet. Telefon juga cepat panas setelah bermain hanya 10 minit.

Watak utama dan kucing-kucing terapung… Ini pada tetapan grafik asal (High). Perlu turunkan grafik, barulah selesai masalah tapi masih lagi lagging.

Kalau setakat menggunakan media sosial dan menavigasi melalui homescreen, tidaklah panas. Paling teruk pun, suam-suam sahaja.

Google sebenarnya tidak mementingkan peningkatan prestasi GPU pada cip ini, tetapi lebih kepada CPU untuk pemprosesan AI. Jadi, janganlah terlalu berharap pada cip ini, kecuali kalau anda penggemar AI.

Tetapi, apa yang boleh dipercayai adalah sistem operasi telefon ini.

Sistem Operasi

Dua sahaja yang boleh saya cakap: lancar, dan boleh diubahsuai.

Pixel 11 Pro menjalankan Android 17 dengan perasa Pixel UI, dan Material 3 Expressive.

Setakat lebih seminggu saya memakai telefon ini, memang lancar. OS cukup optimum dan tanpa sangkut-sangkut. Tidak seperti dalam telefon-telefon daripada Xiaomi, realme, dan HONOR.

UI juga terasa sangat personal.

Yang menyejukkan mata juga adalah ketiadaan ‘bloatware’. Hanya ada aplikasi-aplikasi buatan Google sahaja. Jadi, tidak perlu risau tentang pemaparan iklan setiap kali anda menggunakan telefon.

Satu lagi yang akan mengurangkan kerisauan adalah 7 tahun software updatePatutnya telefon ini masih boleh dipakai dan diwarisi kepada anak anda.

Bukan itu sahaja, telefon-telefon Pixel dijamin akan mendapat software update dahulu sebelum telefon Android jenama lain.

Tetapi, bagaimana pula dengan ketahanan bateri? Boleh tahan ke?

Hayat Bateri

Kebanyakan telefon Android pada masa kini menggunakan bateri Silikon Karbon yang mempunyai kapasiti yang besar tanpa menebalkan lagi telefon. Contohnya seperti Realme Power P4 dan OPPO Find X9 Ultra.

Tetapi, Google masih lagi menggunakan teknologi bateri Li-Ion yang berkapasiti 4850mAh.

Walau bagaimanapun, hayat bateri masih lagi panjang.

Contohnya, jika saya menggunakannya pada petang Jumaat dengan bateri 100%, akan ada baki bateri sekitar 25-30% pada petang Sabtu. Ini pun dengan tetapan skrin 120Hz, resolusi 2410×1080, penyambungan WiFi, sambungan earbuds Bluetooth, dan penggunaan ringan seperti melayari media sosial, tangkap gambar, dan sedikit gaming.

Jika guna sambungan data selular, mungkin akan kurang lagi, tetapi jangkaan saya adalah lebih 7 jam hayat bateri dengan penggunaan ekstrem. Dikira cukup baik.

Apa yang kurang mantap adalah kelajuan pengecasan.

Ya, Google mengatakan ada mod ‘Extreme Charging’ yang mampu mengurangkan perjalanan aplikasi di latar belakang, jadi patutnya boleh cas lebih laju melalui wayar.

Realitinya, telefon ini hanya menyokong pengecasan wayar 30W sahaja. Jadi, akan mengambil masa lebih kurang 90-100 minit untuk cas sehingga penuh. Masih lagi ketinggalan berbanding telefon-telefon Android lain, tetapi bolehlah.

Bagi pengecasan wayarles pula, ia menyokong Qi2.2, setinggi 25W. Ini lebih laju berbanding Pixel 10 Pro pada 15W, tetapi masih lagi biasa-biasa sahaja.

Bagaimana dengan hiburan? Luar biasa tak?

Hiburan

Senang kata, tidak.

Anda pasti tertanya, “Mengapa? Bukan ke skrin mantap?”

Benar, telefon ini dilengkapi dengan skrin Super Actua, bersaiz 6.3 inci, resolusi 2856×1280, panel LTPO OLED, dan kadar segar 120Hz. Bukan itu sahaja, skrinnya juga cukup terang, iaitu pada 2400 nits. Ia juga mampu mencapai 3600 nits apabila digunakan di kawasan yang terang.

Dengan skrin sebegini, memang puas untuk melayan filem. Tetapi, jika ia digandingkan dengan speaker dengan kualiti rendah, tiada guna juga.

Jadi, inilah masalah telefon Pixel 11 Pro, kualiti speaker kurang memuaskan. Memanglah speaker telefon ini stereo, dan ada bass, tetapi bagi saya, kejelasan bunyi instrumen dan suara orang itu kurang. Macam tenggelam sedikit.

Ia tidaklah teruk, cuma kurang memuaskan.

Pada pendapat saya, saya lebih menyukai speaker pada telefon iPhone 13 saya berbanding pada Pixel 11 Pro…

Kamera

Apabila masuk bab kamera pula, Google juga ada mengatakan bahawa ada naik taraf, tetapi sedikit sahaja dari segi teknikal, dan lebih kepada pemprosesan AI.

Ketika gambar ditangkap, AI akan memproses gambar dan menaikkan ketajaman dan kecerahannya menjadi ‘Hi-Res’. Seperti yang dilihat di bawah, AI memproses gambar dengan pantas.

Berikut adalah spesifikasi-spesifikasi kamera pada Pixel 11 Pro:

Kamera-kamera utama:

  • Wide: 50MP Octa PD, ƒ/1.68, dan saiz sensor imej 1/1.3″.
  • Ultrawide: 48 MP Quad PD dengan autofocus, ƒ/1.7, saiz sensor imej 1/2.51″.
  • Telefoto: 48 MP Quad PD dengan penstabilan imej optik (OIS), ƒ/2.8, 5x zum optik, dan saiz sensor imej 1/1.95″.

Kamera swafoto: 42MP, Dual PD dengan autofocus, ƒ/2.2 aperture.

Sebenarnya, tidak jauh beza dengan kamera-kamera pada Pixel 10 Pro.

Apabila bercerita tentang hasil gambar dari kamera-kamera telefon ini, ia cukup baik, tetapi mengikut situasi.

Bermula dengan kamera swafoto, mantap bagi saya. Tajam dengan dynamic range yang baik. Hasil gambar juga konsisten.

Masuk ke kamera utama pula, ia mengikut situasi. Cukup pencahayaan, gambar nampak terbaik.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts