by Oh! Semput

Kerangka undang-undang persaingan yang mantap mampu membantu meningkatkan aliran perdagangan dan perkhidmatan ASEAN dalam usaha mencapai aspirasi penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2025.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, undang-undang persaingan kini telah diiktiraf sebagai satu daripada komponen penting dalam memupuk integrasi dan kerjasama di rantau ini.
Katanya, polisi persaingan dan penguatkuasaan yang efektif mempunyai hubung kait yang kuat dengan pertumbuhan ekonomi ASEAN dalam jangka masa panjang.
“Dalam Kerangka AEC 2015, negara-negara ASEAN telah bersetuju untuk melaksanakan undang-undang persaingan menjelang 2025 dan ketika ini sembilan daripada 10 negara ASEAN sudah mempunyai inisiatif undang-undang persaingan mereka sendiri.
“Oleh itu, ASEAN perlu meningkatkan usaha terhadap integrasi ekonomi dengan meletakkan asas kukuh dalam menyatupadukan kesaksamaan persaingan sekali gus menjadi rantau yang berhubung secara global,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Persidangan Persaingan ASEAN 2017 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Basaruddin Sadali.
Seramai 200 peserta merangkumi pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, pengamal undang-undang, pertubuhan antarabangsa dan persatuan pengguna negara ASEAN menghadiri persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini bertemakan ASEAN@50 – Mengurus Perubahan dalam Kompetitif ASEAN.
Dalam pada itu, Siti Norma berkata, persidangan tersebut dilihat sebagai medan terbaik buat negara ASEAN bertukar pandangan dan pengalaman untuk menjadi rantau sedar persaingan.
Jelasnya, semua pihak mendapat manfaat daripada pertukaran pengalaman dan perbincangan strategik yang diadakan pada persidangan tahunan berkenaan terutama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang persaingan.
“Persidangan ini diharap dapat membentuk hala tuju undang-undang persaingan dengan memupuk pembinaan institusi mantap dan mekanisme penguatkuasaan dalam usaha mewujudkan pasaran tunggal ASEAN.
“Kerangka baharu ASEAN iaitu AEC 2025 bukan sahaja memerlukan integrasi lebih kukuh antara negara ASEAN, malah mempunyai polisi dan undang-undang persaingan yang mapan supaya dapat meningkatkan persaingan ASEAN dalam pasaran antarabangsa,” katanya.