by Oh! Semput
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan meminda atau menggubal undang-undang yang lebih tegas bagi menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) susulan tindakan segelintir pihak yang dilihat tidak mengendahkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Memetik laporan daripada Berita Harian, perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selepas mesyuarat Kabinet yang membincangkan beberapa isu sensitif yang dilaporkan termasuk di media sosial.
Menurut Fahmi, mesyuarat Kabinet berpandangan tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, selain meneliti sama ada wujud kelompangan dalam undang-undang sedia ada.

Artikel lain: Ramanan dakwa wujud ‘ejen’ sengaja cetus provokasi 3R, akan bawa ke kabinet esok
Terdahulu, media melaporkan Menteri Manusia, R Ramanan akan membawa isu berkaitan individu yang didakwa bertindak sebagai ejen provokasi perkauman dan agama ke Mesyuarat Kabinet.
Dalam masa sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam provokasi berkaitan agama dan kaum tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu berkenaan.
: Berita Harian (Rafidah Mat Ruzki)