by Oh! Semput
Kewujudan laman sosial memberi peluang kepada orang ramai terutama selebriti untuk mempromosikan produk mereka. Tidak hanya itu, anak selebriti juga menjadi tarikan sehingga ada yang berani mewujudkan laman sosial yang bukan dikendalikan selebriti itu sendiri. Bagi pelakon dan pengacara Yasmin Hani, dia juga melakukan hal sama untuk dua anaknya iaitu Noah Ismail Wong, 4, dan Eissa Elzander Wong, 3 bulan.
Namun, dia mempunyai sebab sendiri dan tiada niat mendapatkan publisiti untuk meraih tawaran menjadikan anak-anaknya duta produk.
“Niat asal saya adalah untuk membuat buku jurnal perjalanan kehidupan anak daripada hari pertama mereka lahir sehingga membesar.
“Apabila saya lihat laman Instagram (IG) seperti lebih mudah, saya fikir apa salahnya saya kongsi di IG saja,” katanya.
Hani berkata, ini adalah hadiah untuk anaknya apabila dia sudah tua nanti.
“Sekurang-kurangnya ia boleh dilihat semua orang. Pun begitu buku jurnal mereka berdua masih saya buat tetapi sekarang lebih banyak di IG saja,” katanya.
Hani berkata, jika ada yang sudi mengambil mereka menjadi duta produk, itu adalah kebetulan dan rezeki kedua-dua anaknya.
Namun, untuk berharap bukan fokus utamanya.
Dalam pada itu, Hani juga tidak menolak jika ada yang mempertikai keselamatan anaknya di IG.
“Setiap orang punya pandangan masing-masing, oleh itu saya tidak ralat jika ada yang persoal mengenai keselamatan anak saya.
“Saya fikir, jika semua orang sudah kenal anak saya apabila berada di luar pasti mereka tahu anak saya bersama siapa.
“Bagaimanapun, saya minta dijauhkan daripada perkara buruk,” katanya.
Mengulas perkembangan seni, Hani mengakui rindu kembali berlakon selepas hampir setahun berehat.
“Drama terakhir lakonan saya adalah Keluarga Pontimau yang disiarkan di TV3. Selepas itu saya hamil anak kedua dan banyak berehat di samping menjadi pengacara untuk majlis tertentu.
“Sekarang anak sudah membesar boleh saya kembali aktif semula.
“Insya-Allah saya sudah menghadiri uji bakat untuk sebuah filem yang boleh dikatakan agak besar dan menarik. Doakan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Baca lagi: Yasmin Hani Kongsi Gambar Anak Kedua