by Oh! Semput
Anker terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pembukaan kedai baharu di Sunway Pyramid. Terletak di pusat beli-belah ikonik, kedai ini menawarkan pengalaman membeli-belah lebih dekat dengan pengguna khususnya mereka yang mencari barangan berteknologi moden. Ini merupakan cawangan ketiga selepas kejayaan dua kedai terdahulu di IOI City Mall Putrajaya dan Pavilion Kuala Lumpur.


Kedai baharu ini menggunakan konsep butik berpengalaman penuh dengan menawarkan pelbagai rangkaian produk terkini Anker. Antara produk yang ditawarkan termasuk aksesori pengecasan pantas dan bank kuasa (powerbank) daripada Anker. Turut tersedia fon telinga, pembesar suara serta projektor mini daripada Soundcore, manakala Eufy pula menawarkan kamera keselamatan dan robot penyedut habuk pintar.



Menariknya, penawaran produk Eufy turut diperluas dengan segmen keluarga melalui rangkaian peranti penjagaan bayi, khusus untuk memenuhi keperluan mereka yang mempunyai anak kecil. Dengan pendekatan berasaskan pengalaman pelanggan, pengunjung turut berpeluang mencuba sendiri produk, menerokai teknologi dan merasai ekosistem Anker secara menyeluruh.


Kedai ini turut menggunakan gabungan warna biru dan putih yang menghiasi keseluruhan ruang sekali gus mewujudkan suasana moden dan segar. Pada masa yang sama, ia dilengkapi dengan kakitangan yang sentiasa bersedia membantu pelanggan. Lokasi kedai ini terletak di F1.41, tingkat satu.