Sony FX5 Dijual Di Malaysia Bermula Harga RM22,999

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 26 Jul 2026 14:03:50

Sony telah melancarkan FX5 Cinema Line Camera, iaitu kamera perfileman generasi baharu yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan produksi moden. Kamera ini dilengkapi dengan sensor imej baharu yang lebih sensitif, sekali gus memberikan prestasi tinggi walaupun hadir dalam tubuh kompak yang mudah dibawa.

Sony FX5 hadir dengan sensor CMOS bingkai penuh baharu (Exmor RS) digabungkan bersama enjin pemprosesan BIONZ XR2 serta unit AI khusus. Kamera ini menyokong lebih daripada 15 hentian julat dinamik dan menawarkan tiga tetapan asas ISO iaitu 800, 4000 dan 12800 sekali gus memberikan kebebasan rakaman yang lebih luas mengikut keadaan pencahayaan.

Sony FX5 menyokong rakaman dalam format Open Gate dengan nisbah 3:2 menggunakan keseluruhan piksel pada sensor. Ia turut menawarkan beberapa mod imbasan dengan pilihan nisbah aspek untuk rakaman seperti 17:9, 16:9, dan Super 35mm. Kamera ini berupaya merakam pada kadar bingkai tinggi sehingga 5K 120P dan 4K 240P serta menyokong rakaman dalaman dalam format X-OCN RAW bagi menghasilkan kualiti imej yang lebih tinggi.

Format X-OCN ialah singkatan kepada eXtended Original Camera Negative iaitu sistem rakaman yang mengekalkan data imej asal dengan julat dinamik yang luas. Teknologi ini membolehkan rakaman dihasilkan dengan lebih terperinci dari segi cahaya dan warna sekali gus memberikan kebebasan dalam proses penyuntingan tanpa menjejaskan kualiti imej.

Sony FX5 juga dilengkapi dengan sistem autofokus berasaskan AI yang mampu mengesan kedudukan tubuh manusia dengan lebih tepat. Kamera ini turut disertai dengan fungsi penjejakan masa nyata serta Auto Tracing White Balance. Teknologi ini memanfaatkan gabungan cahaya yang boleh dilihat oleh mata manusia bersama sensor inframerah sekali gus menghasilkan kawalan warna dan fokus yang lebih konsisten dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Sony FX5 hadir dengan pemidang bidik OLED DVF-EL1, skrin LCD 3.5-inci serta sistem menu baharu menyerupai CineAlta. Tubuhnya direka dengan ciri kalis habuk dan kelembapan untuk ketahanan tambahan. Untuk sambungan, ia menawarkan dua port USB-C, LAN berwayar, sokongan aplikasi Monitor & Control bagi kawalan jauh serta integrasi dengan Catalyst Prepare 3.0 untuk memastikan imbangan imej dan suntingan warna lebih tepat.

FX5 Cinema Line Camera ditawarkan di Malaysia pada harga RM22,999 untuk tubuh sahaja dan RM25,999 bagi pakej bersama pemegang (handle). Pratempahan dibuka mulai sekarang sehingga 16 Ogos 2026, dengan setiap pembelian disertakan hadiah percuma berupa CEA-G240T Touch Card bernilai RM1,199 (kuantiti terhad).

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts