STR Fasa 3 Mula Disalurkan Hari Ini Kepada 5.3 Juta Penerima

by Oh! Semput


6
SHARES
82
VIEWS
Posted on 15 Aug 2026 08:00:42

Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat hari ini kepada 5.3 juta penerima di seluruh negara, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan jumlah penerima bagi fasa kali ini meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding lima juta penerima pada awal tahun. Daripada keseluruhan penerima, 3.9 juta terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas yang tiada pasangan.

Bagi STR Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan, pendapatan serta bilangan anak. Warga emas yang tiada pasangan pula menerima bayaran RM150.

Dengan pembayaran bagi tiga fasa yang telah dilaksanakan sepanjang 2026, jumlah keseluruhan STR yang disalurkan kerajaan kini mencecah RM3.6 bilion.

Bergantung kepada kategori masing-masing, penerima yang layak juga boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul sehingga Ogos menerusi STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan. Jumlah itu tidak termasuk bayaran SARA Untuk Semua secara sekali beri kepada seluruh warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Mulai tahun ini, kerajaan menyusun semula mekanisme bantuan supaya sokongan kepada rakyat dapat diterima secara lebih teratur sepanjang tahun. STR diberikan secara suku tahunan, manakala SARA disalurkan setiap bulan kepada penerima yang memenuhi syarat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan jumlah isi rumah penerima daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3 menunjukkan usaha kerajaan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan yang memerlukan ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran.

Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing secara berperingkat. Mereka yang tidak mempunyai akaun bank pula boleh menunaikan bayaran di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kerajaan turut membuka permohonan baharu dan rayuan STR sepanjang tahun bagi mengurangkan risiko golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan. Maklumat serta urusan permohonan boleh dibuat menerusi portal rasmi STR.

Untuk tahun 2026, peruntukan keseluruhan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, iaitu jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan bagi skim bantuan berkenaan. Kerajaan menyifatkan peruntukan itu sebagai sebahagian daripada usaha memastikan hasil negara dapat disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, di samping meneruskan reformasi ekonomi bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

STR Fasa 3 Mula Disalurkan Hari Ini Kepada 5.3 Juta Penerima first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts