by Oh! Semput
Hasrat menikmati cuti sambil mencandat sotong bertukar detik mencemaskan buat Muhammad Farris Zakwan Mohd Ibrahim, 33, apabila bot yang dinaikinya karam dipukul ombak besar di perairan Terengganu pada 3 Julai lalu.
Muhammad Farris yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kuala Lumpur difahamkan mengalami kecederaan serius selepas hampir lemas dalam kejadian yang turut melibatkan sembilan individu lain.
Dalam insiden itu, seorang kru bot meninggal dunia akibat keletihan ketika membantu menyelamatkan penumpang.

Kejadian tersebut juga menyebabkan Muhammad Farris mengalami kecederaan parah pada pergelangan tangan kanan sehingga menyebabkan saluran darah utama, beberapa tendon dan otot terputus, selain luka koyakan pada jari telunjuk kiri serta kecederaan di bahagian belakang bahu kiri.
Beliau telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menerima rawatan.
Susulan daripada kejadian berkenaan, Skuad PERKESO Prihatin segera menyemak status caruman Muhammad Farris dan mendapati beliau adalah pencarum aktif bawah Akta 4 atau LINDUNG Pekerja sekali gus merupakan pencarum LINDUNG 24 Jam.
Muhamad Farris layak menerima bayaran sebanyak RM1,368, dan akan terus disalurkan kepadanya jika doktor mengesahkan beliau perlu melanjutkan tempoh cuti sakit bagi memastikan kecederaan yang dialami benar-benar pulih.
Situasi ini jelas membuktikan bahawa PERKESO bukan sekadar menyediakan ‘one time payment’, tetapi terus memberikan perlindungan secara berterusan bagi memastikan pekerja benar-benar pulih sebelum kembali bertugas.

Selain bantuan kewangan, Muhammad Farris turut menerima rawatan fisioterapi berterusan dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO bagi membantu proses pemulihan tangannya.
Sementara itu, Muhammad Farris meluahkan rasa syukur apabila masih diberi peluang untuk hidup susulan kejadian yang dialami sebelum ini.
Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada PERKESO kerana memperoleh manfaat perlindungan dan Faedah Hilang Upaya Sementara sepanjang tempoh tidak bekerja.
Mengambil iktibar daripada insiden yang dialami Muhammad Farris, ia membuktikan bahawa kemalangan boleh berlaku tanpa diduga walaupun ketika sedang bercuti.
Walau bagaimanapun, Perlindungan LINDUNG 24 Jam sentiasa memastikan pencarum yang layak mendapat sokongan, biarpun ketika berdepan saat sukar.