by Oh! Semput
PUTRAJAYA: Menjelang Sukan SEA 2017, aksi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2016 semalam menarik perhatian para peminat sukan polo di Kelab Ekuestrian Putrajaya.
Khairy merupakan seorang daripada 4 pemain dalam pasukan Jogo yang menewaskan pasukan Amax Polo 8-4.
Ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan, Khairy menyifatkan perlawanan berkenaan sebagai sengit namun berpuas hati dengan corak permainan memandangkan ia merupakan kali pertama keempat-empat pemain pasukan Jogo beraksi sebagai satu pasukan.
“Selepas Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2016, ada 3 atau 4 kejohanan lagi sebelum Sukan SEA 2017 berlangsung.
“Tujuh daripada 12 pemain yang beraksi dalam Kejohanan Polo Terbuka Malaysia ini merupakan pemain yang disenarai pendek untuk Sukan SEA 2017,” katanya.
Khairy merupakan seorang daripada pemain yang berada dalam senarai pendek skuad polo berpasukan negara bagi Sukan SEA 2017.
Selain Khairy, pasukan polo negara dianggotai sepenuhnya sebahagian besar pemain profesional yang pernah beraksi di Sukan SEA Korat.
Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2016 berlangsung di Kelab Ekuestrian Putrajaya mulai 10 hingga 23 Okt depan. Tujuh kumpulan bertanding dalam kejohanan kali ini.