by Oh! Semput
Bolt, salah satu penyedia perkhidmatan seru-pandu di Malaysia kini mengaktifkan ciri integrasi bersama ChatGPT, sekaligus membolehkan para pengguna Bolt melakukan tempahan pengangkutan ke destinasi terus melalui ChatGPT.

Dengan integrasi ini, para pengguna boleh berinteraksi dengan Bolt dalam mendapatkan sejumlah maklumat, termasuk anggaran tambang, membandingkan pilihan laluan, menyemak waktu ketibaan pemandu dan lain-lain. Malah, pengguna turut boleh lakukan semakan tambahan seperti lokasi untuk dijemput dalam memendekkan masa keseluruhan perjalanan.
Ini sekaligus memudahkan pengguna dalam menggunakan hanya satu aplikasi untuk tujuan perancangan perjalanan mereka. Buat masa ini, pembayaran akan diproses menggunakan aplikasi Bolt, tetapi bergerak kehadapan, ia kelak akan diintegrasikan untuk dilakukan terus menggunakan ChatGPT.
Bagi anda yang aktif menggunakan ChatGPT, boleh mengaktifkan Bolt di ChatGPT, dan menggunakannya dalam pengurusan perjalanan anda. Sebelum ini, Shopee turut telah memperkenalkan integrasi Shopee ke ChatGPT.