[KISAH BENAR] Malang Muslim Kemboja

by Oh! Semput


3
SHARES
34
VIEWS
Posted on 21 Oct 2016 06:00:24

Little-beggar-at-Ankor-Wat-Cambodia

Gambar: Corbis

Peluang untuk melawat bumi Kemboja bersama rakan media dan Air Asia sememangnya tidak saya lepaskan. Terngiang suara rakan-rakan yang ghairah menyarankan tempat-tempat menarik untuk membeli-belah. Kain sutera murah, ukiran kayu dan batu yang menarik serta selendang cantik dengan harga berpatutan. Terbayang-bayang dalam angan saya untuk dibeli dan dibawa pulang untuk keluarga. Sememangnya barangan itu menjadi tumpuan pelancong untuk dibeli sebagai buah tangan, koleksi sendiri mahupun untuk dijual semula.

Secara khusus, kami dibawa ke Siem Reap yang terletak 320km dari ibu kota Kemboja, Phnom Penh. Sebagai menghormati kesemua delegasi media yang beragama Islam, kami dibawa makan ke kedai yang menawarkan menu halal sepanjang tiga hari kami di situ. Salah satunya adalah di Restoran Muslim Family yang terletak berdekatan kawasan perkampungan Islam dan bersebelahan Masjid An-Nikmah. Ia merupakan masjid terbesar di daerah Siem Reap.

Perkampungan Islam ini terletak di Kampung Steung Thnei. Berbeza sungguh kawasan ini dengan kampung lain di mana ia dilitupi dengan hanya tanah merah berdebu dan semua rumah serta kawasan kedai diperbuat daripada batang pokok dan buluh serta beratapkan daun rumbia. Cuaca panas bertambah bahang dengan kawasan sekitar yang tidak ada pokok merimbun untuk berteduh. Bau tidak menyenangkan juga menusuk hidung dek sistem perparitan yang tersumbat dan penuh dengan sampah. Air hitam pekat memenuhi parit di sepanjang jalan dan ia benar ‘mengganggu’ kami.

Dasar budak bandar, bisik hati kecil saya yang sibuk mengipas diri sendiri kerana kepanasan sinar matahari yang seakan menggigit kulit. Ketika rakan media lain sudah masuk ke kawasan perkampungan, saya masih di hadapan sebuah kedai runcit dan menjenguk sekiranya ada air sejuk yang dijual. Namun sayangnya tiada peti ais yang kelihatan. Apa yang terjual sekadar barangan kering yang kuantitinya seakan meniaga melepaskan batuk di tepi tangga. Ketika merungut panas itu, saya didekati seorang anak kecil yang hanya memakai kemeja-T labuh lusuh rona jingga. Matanya juling ke dalam dan berambut pendek, berkaki ayam serta kudis di kaki. Dia menghulur tangan, meminta apa pun saya tidak pasti. Tiada suara yang keluar dari mulutnya yang herot. Saya tidak mengendahkannya, dan dia masih menghulur tangan. ‘Peminta sedekah la ni,’ getus hati kecil saya yang tidak begitu senang dengan penipuan sindiket peminta sedekah seperti di Malaysia.

Tiba-tiba saya didekati imam masjid An-Nikmah. Dia meminta maaf bagi pihak anak kecil itu yang mengganggu saya dengan meminta sedikit makanan mahupun wang untuk menampung kehidupannya. Imam menerangkan bahawa sejak kematian ibunya, anak ini terbiar tanpa jagaan sementelah dia pula tidak dapat menjaga diri sendiri kerana kecacatan otak. Terkejut apabila diberitahu yang dia adalah seorang gadis berusia 24 tahun dan tidur menumpang di masjid itu. Sayu hati dan rasa bersalah menguasai diri. Saya hulur wang sekadar termampu dan berlalu dari situ. Apa yang pasti, peminta sedekah di bumi Siem Reap ini tidak ada yang berlandaskan sindiket kerana sememangnya kehidupan di sana sukar. Persaingan untuk mengisi peluang pekerjaan yang terhad dan desakan hidup kemiskinan memaksa mereka untuk membuat apa sahaja termasuk menagih simpati dengan meminta sedekah.

Di kiri kanan saya dipenuhi dengan rumah-rumah kecil yang saya kira buatan sendiri kerana ia tidak kemas dan seakan berpotensi untuk runtuh bila-bila masa. Sampah sarap memenuhi kawasan penempatan dan lalat begitu banyak menghurung kawasan sekitar. Kami singgah di salah sebuah rumah kecil yang dihuni nenek berusia 70 tahun, Nek Ja. Dia sedang memasak bubur dan ikan rebus menggunakan dapur kayu di hadapan rumah sebagai hidangan makan tengah hari. Sibuk berbual dengannya, kelihatan dua anak kecil mendekati. Nek Ja menerangkan bahawa mereka adalah cucunya dan anak perempuannya keluar ke bandar bekerja bagi menampung hidup mereka.

Simpati saya tidak berhenti di situ bilamana masuk ke pondok kecil itu dan kelihatan seorang gadis muda sedang duduk di atas pangkin. Di hadapannya ada seorang bayi kecil yang baru 10 hari dilahirkan. Bayi itu tidak memakai lampin dan ada daun di sekitar perut bagi mengelak perut kembung. Dia dilahirkan di pondok kecil itu dan dibidan Nek Ja sendiri. Tanpa ubat yang sesuai dan rawatan susulan, wanita itu kelihatan sedikit pucat dan keletihan. Di sekitar pangkin terdapat timbunan baju dan pelbagai barang lagi yang membuatkan pondok kecil itu bertambah sempit.

Kepanasan cahaya matahari juga menyesakkan pernafasan di samping bau hancing yang tidak menyenangkan. Bagaimana anak kecil itu membesar dalam suasana kotor dan tanpa nutrisi begitu? Sihatkah dia? Atau terjaminkah masa depannya?

Di luar pondok Nek Ja terdapat sesuatu yang unik tergantung di tempat sidaian. Apabila ditanya, Nek Ja menerangkan itu adalah sosej yang dibuat sendiri menggunakan daging lembu hasil ternakan penduduk kampung. Daging salai atau sosej buatan tempatan banyak dijual di Old Market Siem Reap. Hasil itu dijual kepada peniaga Cina Kemboja yang menjual kembali dengan harga yang lebih tinggi. Komuniti Cina Kemboja sememangnya terkenal dengan bakat meniaga dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dalam sistem ekonomi Kemboja. Nek Ja dan keluarga tidak akan makan daging itu melainkan ia hasil korban kerana hasil jualan itulah yang menampung kehidupan mereka sekeluarga. Mereka lebih sanggup untuk menahan keinginan makan daging demi mendapatkan wang untuk beras dan juga ubatan.

Penduduk Islam yang kesemuanya berasal dari etnik Champa (Melayu Kemboja) adalah komuniti minoriti di Kemboja. 90 peratus daripada penduduk Kemboja beragama Hindu Budha. Muslim di Kemboja bagai di anak tiri kerana tiada siapa di kalangan pihak atasan yang boleh membantu keadaan mereka. Kawasan penempatan yang didiami Nek Ja dan 200 orang Muslim yang lain disewa daripada penyewa yang mengenakan bayaran sebanyak 80,000 riel atau bersamaan dengan lebih kurang RM75 sebulan. Mereka tiada punca pendapatan lain selain jualan sosej dan daging salai.

Jika pun ingin mencari wang tambahan, mereka perlu keluar dari perkampungan dan menempuh perjalanan yang jauh untuk bekerja di kawasan bandar. Kalau diikutkan, ada pekerjaan yang mudah untuk mencari wang seperti menjadi tukang urut, namun pekerjaan seperti itu tidak sesuai untuk dilakukan warga Muslim. Selain itu, tanah kering dan tidak subur tidak memungkinkan mereka untuk bercucuk tanam atau sekadar untuk memberi keluarga makan. Tiada elektrik dan air bersih selain punca air yang perlu dipam lebih kurang 1km daripada rumah.

Ketika meninggalkan perkampungan itu, sempat saya melihat sekumpulan kanak-kanak yang berkaki ayam melintasi kawasan berbatu kerikil dan sampah sarap yang menimbun. Saya tahu penduduk kampung bukanlah orang senang, namun apa kata mereka ambil sedikit masa untuk membersihkan kawasan sekitar yang terlalu kotor dan tidak sihat untuk tumbesaran kanak-kanak. Islam juga menegaskan kebersihan itu adalah salah satu kunci iman. Namun mereka lebih senang untuk hanya membiarkan kotoran itu dan berserah kepada takdir bahawa kemiskinan menyebabkan mereka perlu tinggal di persekitaran seperti itu.

Sempat saya mengerling kaum wanita yang sedang duduk lepak di bahagian luar rumah. Mereka menyoroti langkah kami mungkin dengan harapan agar diberi juga sedikit wang seperti mana yang diberi kepada Nek Ja dan keluarga. Ada yang sibuk membawa bayi kecil mereka keluar daripada teduhan rumah dan menunjukkan betapa daif kehidupan mereka. Entah mengapa saya terasa jengkel dengan perihal itu. Dalam simpati, ada juga rasa tidak puas hati dengan mentaliti mereka. Mungkin sudah penat bekerja seharian memaksa mereka untuk tidak mengubah kesusahan yang dialami. Wallahualam.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts