by Oh! Semput
Pusat Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mengeluarkan amaran berhubung satu aktiviti penyebaran perisian hasad (malware) yang kini sedang aktif menyasarkan pengguna Android di Malaysia.
Malware yang dikenal pasti sebagai varian LongKong Android Remote Access Trojan (RAT) itu dilaporkan mempunyai keupayaan mengawal peranti mangsa dari jarak jauh, mencuri maklumat perbankan dan melakukan transaksi tanpa pengetahuan mangsa.
Menurut MyCERT, malware berkenaan disebarkan melalui aplikasi Android palsu yang dipromosikan menerusi iklan media sosial dan pautan WhatsApp.
Lebih licik lagi, aplikasi tersebut menggunakan pelbagai taktik untuk memperdaya mangsa; termasuk tawaran kerja sambilan, pembelian barangan secara tunai ketika penghantaran (COD), perkhidmatan penghantaran, pinjaman serta aplikasi pembaca PDF.
Mangsa kemudiannya diperdaya untuk memuat turun dan memasang aplikasi Android melalui fail APK daripada sumber tidak rasmi, iaitu kaedah yang dikenali sebagai sideloading. Aplikasi palsu tersebut seterusnya memasang malware pada peranti mangsa.
Sembilan Nama Aplikasi Palsu Yang Dikesan
Menerusi laporan keselamatannya, MyCERT menyenaraikan sembilan nama aplikasi yang dikenal pasti digunakan sebagai umpan dalam aktiviti serangan tersebut antara Julai hingga September 2026.

MyCERT turut menjelaskan bahawa penyerang boleh menukar nama dan identiti aplikasi dari semasa ke semasa. Oleh itu, pengguna tidak seharusnya bergantung kepada senarai nama aplikasi semata-mata untuk mengenal pasti ancaman.
Mampu Mengawal Telefon Dan Mencuri PIN Perbankan
Selepas aplikasi palsu dipasang, mangsa akan diminta mengaktifkan kebenaran Accessibility atas alasan seperti pengesahan peranti atau melengkapkan proses pemasangan.
Kebenaran ini kemudiannya disalahgunakan untuk membaca paparan skrin, menekan butang dan mengawal aplikasi yang digunakan mangsa. Apabila mangsa membuka aplikasi perbankan, malware LongKong ini boleh memaparkan skrin log masuk palsu yang menyerupai paparan sebenar aplikasi bank.
Melalui kaedah tersebut, penyerang boleh mencuri nama pengguna, kata laluan dan PIN transaksi.
Malah, malware ini turut mempunyai keupayaan membaca mesej SMS, mengakses fail, mendapatkan lokasi GPS serta mengawal kamera peranti.
Lebih membimbangkan, penyerang turut boleh menggunakan telefon mangsa sendiri untuk memulakan dan meluluskan transaksi perbankan tanpa pengetahuan pemiliknya.
Pengguna Android Dinasihatkan Berwaspada
Sehubungan itu, MyCERT menasihatkan pengguna supaya hanya memasang aplikasi daripada Google Play Store atau kedai aplikasi rasmi pengeluar peranti. Pengguna juga dinasihatkan agar tidak memberikan kebenaran Accessibility, Device Administrator atau Display over other apps kepada aplikasi yang tidak dikenali.
Menurut MyCERT juga, aktiviti serangan ini masih aktif ketika laporan keselamatan tersebut diterbitkan.
Sekiranya pengguna pernah memasang aplikasi palsu yang disenaraikan, MyCERT menasihatkan mereka supaya menggunakan peranti lain yang selamat untuk menukar maklumat log masuk perbankan, menyemak transaksi dan segera menghubungi pihak bank.
: MyCERT — LongKong Android Banking Trojan Advisory (MA-1482.102026).
Awas, Malware LongKong Aktif Sasar Pengguna Android Malaysia, Mampu Curi Maklumat Perbankan WISER.MY.