KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Bayaran itu diselesaikan di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee berkata, bayaran selesai dibuat pada jam 1 tengah hari.
"Ya, sedang selesai proses," katanya ringkas.
Proses pembayaran bermula dengan seorang pemimpin UMNO membawa beg hitam berkunci di kaunter pembayaran hasil sebelum resit bayaran untuk perintah pelepasannya dikeluarkan.
Kaunter berkenaan dikawal rapi oleh pihak keselamatan mahkamah bersama polis, namun tiada penyokong bekas Presiden UMNO itu dilihat berada di kawasan sekitar.
Resit berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia sebelum proses perintah pelaksanaan tahanan rumah dapat dikeluarkan.
Sejak Selasa lalu, timbul spekulasi Najib akan menjelaskan denda berkenaan bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Sebelum ini, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen diperoleh ialah kediaman Najib di No 11, Langgak Duta di sini.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga kes pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu menyalahgunakan kedudukan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Najib kemudiannya diperintah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas sabitan terhadapnya dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Persekutuan di Putrajaya, atas tuduhan berkenaan.
Pembelaan Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.
Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda sebanyak RM50 juta. #SinarHarian
http://www.pahangdaily.blogspot.com