by Oh! Semput
Apabila Acer memperkenalkan penjenamaan Vero beberapa tahun lalu, Acer memperkenalkan penggunaan bahan PCR (post consumer recyclable) untuk melihat sekiranya ia boleh digunakan sebagai bahan untuk rangka komputer riba.

Terkini, nama Vero hadir dengan modelnya sendiri, melalui Acer Vero 16, sebuah komputer riba baharu oleh Acer yang kini menggunakan konsep 4R, yang terdiri daripada Reduce, Reuse, Recycle dan Repairability, untuk membolehkan pengguna memperbaiki komponen-komponen dalamannya secara sendiri, dengan bantuan minima dari pihak perkhidmatan pelanggan.
Bermula dengan spesifikasi komputer riba Acer Vero 16 ini, ia tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 3K (2880 x 1620), dikuasakan oleh siri cip pemprosesan Intel Core Ultra X9 388H dengan 32GB memori LPDDR5 dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.

Dari segi penawaran palam pula, Acer Vero 16 tampil dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad SD. Ia juga merumahkan sebuah bateri 71WHr yang menjanjikan penggunaan komputer riba sepanjang hari tanpa masalah.





Rangka komputer riba ini, seperti semua model-model subjenama Vero yang diperkenalkan sebelum ini menggunakan plastik PCR yang sama, tetapi juga dikuatkan dengan logam aluminum kitar semula dengan nilai karbon yang rendah yang menjadikan komputer riba ini sebuah komputer riba yang mampan dalam hampir semua bahagian.
Untuk konsep Repairability pula, bahagian bawah komputer riba ini boleh dibuka tanpa memerlukan pembuka skru, dan bahagian dalamannya hadir dengan pelbagai jenis bahagian yang boleh ditukar sendiri oleh pengguna. Ini termasuklah komponen memori, storan, bateri, palam-palam di bahagian kiri dan kanan dengan menukar papan litar yang dimuatkan dengan palam-palam I/O tersebut, dan juga engsel paparan sekiranya ia rosak.

Dalam pada itu, pihak Acer juga telah mengesahkan bahawa kelak, bahagian papan induk yang merumahkan cip pemprosesan juga akan boleh diubah apabila Intel menawarkan cip-cip pemprosesan yang lebih baharu. Mereka juga tidak menidakkan kemungkinan bahawa cip-cip dari syarikat lain seperti AMD dan Qualcomm juga boleh diperkenalkan di masa hadapan, tetapi buat masa ini Acer hanya akan menawarkan pilihan cip Intel terlebih dahulu.





Dengan Acer Vero 16, Acer sedikit sebanyak telah mula menawarkan komputer riba dengan bahagian-bahagian yang secara teknikalnya adalah modular, walaupun fungsi ini hadir untuk memudahkan pengguna memperbaiki bahagian-bahagian komputer riba ini.

Kami juga telah menanyakan sama ada Acer Vero 16 ini akan tampil dengan tanda harga premium, tetapi tidak menerima sebarang pengesahan mengenainya buat masa ini. Akan tetapi, melihat kepada tawaran komponen-komponen yang digunakan, seperti paparan OLED, siri cip Intel Core Ultra X generasi ketiga dan pilihan memori dan storan yang besar, jangkaan kami ialah komputer riba ini akan hadir dengan harga yang agak premium apabila ia dilancarkan pada awal tahun hadapan.