'Dulu aku pun pernah susah'

by Oh! Semput


8
SHARES
107
VIEWS
Posted on 03 Oct 2020 22:00:46

Kuala Lumpur: Pengalaman sendiri pernah hidup susah dan terpaksa mengikat perut akibat terputus bekalan wang ketika menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjadi pendorong kepada Alexander Adam Su untuk membantu penuntut yang kurang bernasib baik serta menghadapi masalah kewangan di kampus.

Mualaf berusia 25 tahun yang kini menyambung pengajian ijazah perubatan di Universiti UCSI itu mengambil inisiatif berkenaan dengan ciapan di Twitter menyuarakan hasratnya membantu penuntut yang terjejas susulan tidak dapat menetap di kolej kediaman kampus berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Setakat ini, bantuan yang disumbangkan dengan wang simpanan peribadi peninggalan mendiang bapanya itu sudah disumbangkan kepada lima penuntut, empat daripadanya diberikan RM150 dan seorang lagi menerima RM200.

Alexander berkata, segala-galanya bermula selepas banyak terbaca kisah tular mengenai kesukaran penuntut, terutama dari segi kewangan dan ia mengimbau kembali detik sukar dialaminya ketika menuntut di Unimas.

"Dulu, saya pernah melalui hari-hari sukar tanpa duit sebelum mendapat biasiswa pendidikan, tambahan pula ketika itu mendiang bapa kurang sihat akibat menghidap kencing manis, komplikasi buah pinggang dan sakit jantung.

"Pengalaman itu membuatkan saya terdetik melakukan semua ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Alexander, dia memberi sumbangan itu dengan menggunakan wang simpanan mendiang bapanya kerana berniat mahu bersedekah atas jalan Allah SWT.

"Niat saya mahu menderma untuk bapa yang meninggal dunia pada 2016 lalu. Saya percaya kalau kita berbuat baik, Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita dunia dan akhirat," katanya.

Mengenai ciapan yang dimuat naik mengenai pemberian sumbangannya itu, Alexander berkata, ramai yang memberi mesej peribadi dan dia hanya dapat membantu lima penuntut sahaja.

"Penuntut yang mendapat RM200 itu memang saya kenal. Ibu bapanya sudah bersara dan tinggal di Long Urun, kawasan pedalaman Sarawak.

"Dia juga ada menyatakan kekesalan tidak dapat tinggal di kampus kerana agak sukar baginya mendapat capaian internet di kawasan rumahnya," katanya.

Terdahulu, ciapan Alexander di Twitter yang turut disertai dengan hashtag #SiswaJagaSiswa, #RakyatJagaRakyat dan #TolongBantu menerima lebih 10,000 ciapan semula.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts