by Oh! Semput
PROTON hari ini secara rasminya mengumumkan nama rasmi teknologi enjin hibrid generasi baharunya yang dikenali sebagai i-HEV (Intelligent Hybrid Electric Vehicle), yang bakal digunakan pada model akan datang.
Teknologi ini dibangunkan bagi menawarkan gabungan kecekapan bahan api, prestasi lebih lancar dan pengalaman pemanduan yang lebih moden tanpa memerlukan pengecasan luaran.
Sistem i-HEV menggunakan enjin hibrid khusus berkapasiti 1.5 liter yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm tork.

Menurut Proton, enjin ini mencapai kecekapan haba setinggi 46.5 peratus melalui penggunaan kitaran Atkinson, yang direka untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api.
Bagi melengkapkan sistem tersebut, PROTON menggabungkan transmisi hibrid khas (DHT) bersama dua motor elektrik.
Motor P1 berfungsi sebagai penjana kuasa dan penghidup enjin, manakala motor P3 bertanggungjawab memacu kenderaan serta memulihkan tenaga ketika membrek.
Motor utama mampu menjana sehingga 163 PS dan 220 Nm tork.
Sistem ini boleh beroperasi dalam empat mod berbeza, iaitu mod elektrik penuh (EV), mod siri, mod selari dan mod pemanduan terus.
Pertukaran antara mod dilakukan secara automatik mengikut keadaan pemanduan bagi memastikan tahap kecekapan optimum.

i-HEV turut dilengkapi bateri 1.38 kWh yang dicas melalui sistem brek regeneratif dan enjin, sekali gus menghapuskan keperluan untuk pengecasan menggunakan kabel.
Ini membolehkan pengguna menikmati kelebihan pemanduan elektrik sambil mengekalkan kemudahan mengisi petrol seperti biasa.
Pengenalan sistem hibrid pintar i-HEV oleh PROTON ini hadir pada masa syarikat itu sedang memperkukuh keupayaan rangkaian kuasanya di peringkat tempatan.
PROTON menyatakan, pengeluaran komponen utama seperti Dedicated Hybrid Engine (DHE), Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan Electric Drive Unit (EDU) secara tempatan akan membantu mengukuhkan pembangunan teknologi automotif elektrik di Malaysia serta menyokong rantaian bekalan industri negara.
{suggest}
PROTON Perkenal Teknologi Pacuan Hibrid Pintar Baharu, i-HEV WISER.MY.