by Oh! Semput
Remaja yang dipercayai memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian empat sekeluarga dalam kemalangan di Jalan Renggam-Simpang Renggam minggu lalu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu proses pendakwaan.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya sementara siasatan kes dilengkapkan.

Menurut beliau, suspek berusia 19 tahun itu sebelum ini direman sejak 2 Jun lalu sebelum tempoh remannya disambung selama dua hari pada Isnin mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, selepas tempoh reman lanjutan berakhir, suspek sekali lagi ditahan pada Khamis lalu dan direman semula bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian tersebut, suspek merupakan pemandu sebuah Mercedes Benz A250, manakala abangnya yang berusia 22 tahun memandu sebuah BMW 530e. Kedua-duanya dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya sebelum terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga.
Abang kepada suspek turut maut dalam nahas berkenaan.
Empat mangsa yang terkorban ialah Semek Mat Soh, 73, anaknya Nor Azlina Abd Latip, 33, menantunya Aiman Mohd Rashid, 36, serta anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10. – Buletin TV3
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Remaja Pandu Melulu Hingga Ragut Nyawa 4 Sekeluarga Dibebaskan Dengan Jaminan Polis first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.