by Oh! Semput
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman rasmi Formula 1 (F1) berhubung penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu membuktikan keyakinan komuniti sukan permotoran antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah acara bertaraf dunia.
Beliau berkata, KBS turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, atas hubungan erat dan kepercayaan yang terjalin antara kedua-dua negara.
Menurutnya, kementerian juga menghargai hubungan kukuh antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan itu di Malaysia.

Katanya, persetujuan tersebut dicapai hasil perbincangan antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain dan Formula 1 selepas kerajaan menerima makluman awal mengenai cadangan membawa semula perlumbaan berkenaan ke Sepang.
“Persetujuan yang dicapai ini mencerminkan hubungan persahabatan yang utuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
“Penganjuran ini juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan menerusi pelancongan, pelaburan dan aktiviti ekonomi berkaitan sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, SIC pernah menjadi tuan rumah Formula 1 selama 19 tahun berturut-turut bermula pada 1999 hingga 2017. Kepulangan perlumbaan itu dijangka mengubat kerinduan peminat sukan permotoran tempatan untuk kembali menyaksikan aksi perlumbaan paling berprestij dunia di Sepang.
Artikel lain: Sah! F1 kembali gegarkan Sepang, GP Bahrain rasmi berlangsung di Malaysia Oktober ini
Taufiq berkata, KBS menerusi SIC komited memastikan GP Bahrain 2026 dianjurkan mengikut piawaian tertinggi Formula 1, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada pasukan, pemandu dan peminat dari seluruh dunia.
“KBS akan terus komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya lagi.
PERHATIAN: Pihak Oh My Media tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Oh My Media juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.