by Oh! Semput
Litar Antarabangsa Sepang bakal menyaksikan kembalinya aksi Formula Satu (F1) selepas hampir sedekad apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Pemilihan Sepang dibuat susulan perubahan kalendar Formula 1 musim 2026 berikutan konflik di Asia Barat yang menjejaskan penganjuran Grand Prix Bahrain di litar asalnya. Walaupun perlumbaan dipindahkan ke Malaysia, acara itu kekal menggunakan nama Bahrain Grand Prix kerana hak penganjuran dan penajaan utama masih dimiliki Bahrain.
Perkara itu turut bermakna kos utama penganjuran perlumbaan ditanggung oleh Bahrain, manakala Malaysia menyediakan kemudahan litar serta sokongan operasi bagi memastikan perlumbaan dapat berlangsung mengikut jadual.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula Satu, Stefano Domenicali, berkata pemilihan Sepang membuktikan keupayaan Formula 1 menyesuaikan diri dengan cabaran semasa tanpa menjejaskan kelancaran kalendar perlumbaan. Menurutnya, keputusan itu mencerminkan komitmen Formula 1 untuk terus memberikan pengalaman terbaik kepada pasukan, pelumba dan peminat di seluruh dunia.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kemampuan Malaysia mengendalikan acara sukan bertaraf antarabangsa. Beliau berkata negara bersedia mengalu-alukan kehadiran Formula 1, FIA, pasukan bertanding serta peminat dari seluruh dunia, selain mempamerkan infrastruktur moden, kecekapan operasi dan layanan mesra yang menjadi identiti Malaysia.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Formula 1 secara konsisten dari tahun 1999 hingga 2017 sebelum kontrak ditamatkan lebih awal berikutan peningkatan kos penganjuran dan penurunan jualan tiket. Kepulangan Formula 1 ke Sepang, meskipun sebagai venue gantian bagi Grand Prix Bahrain, dilihat mampu menghidupkan semula industri sukan permotoran negara serta memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan perniagaan tempatan. Penganjuran berkenaan bagaimanapun masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir dan kelulusan rasmi daripada pihak berkaitan sebelum dimuktamadkan sepenuhnya.
Sepang Sah Jadi Tuan Rumah Bahrain Grand Prix 2026 first appeared on #1 The News Malaysia.