by Oh! Semput
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan menawarkan diskaun 30% bagi tiket kelas Ekonomi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selama sebulan bersempena dengan pembukaan perkhidmatan itu pada 12 Disember ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata diskaun tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna yang tidak menikmati tambang konsesi, dan bukan potongan tambahan kepada tiket konsesi sedia ada.
“Operasi ECRL disasarkan bermula pada 12 Disember ini manakala penjualan tiket akan dibuka tidak lama lagi. Tetapi untuk orang ramai, ini hanya untuk diskaun bersempena dengan pembukaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penetapan kadar tambang ECRL mengambil kira kemampuan pengguna serta kemampuan operasi syarikat.


Selain perkhidmatan penumpang, Loke berkata operasi kargo ECRL bagi jajaran Gombak-Kota Bharu juga disasarkan bermula serentak pada pertengahan Disember ini.
Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan kargo itu belum dapat dihubungkan ke Pelabuhan Klang berikutan pembinaan jajaran Gombak-Pelabuhan Klang masih berjalan dan dijangka mengambil masa kira-kira setahun lagi untuk disiapkan. MRL juga akan meneliti kadar caj pengangkutan kargo berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kadar tambang untuk Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka diumumkan secara bersama menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat sebelum perkhidmatan berkenaan mula beroperasi, yang dijangka pada Februari tahun depan.
{suggest}
ECRL Tawar Diskaun 30% Tiket Ekonomi Selama Sebulan – Operasi Dijangka Bermula 12 Disember WISER.MY.