by Oh! Semput
HONOR bukan hanya sebuah pengeluar telefon, tablet, dan laptop. Mereka juga telah mengilang jam tangan pintar juga sejak tahun 2018.
Kini, HONOR kembali dengan jam tangan pintar baharu: HONOR Watch 6.
Pada harga RM699, adakah ia berbaloi? Adakah jam tangan ini tampan di luaran sahaja, tapi kekurangan sifat di dalam? Setelah sebulan memakai jam tangan ini, terlihat kelebihannya dan kekurangannya.
Perkara pertama yang jelas apabila memegangnya adalah binaan yang premium. Pada julat harga ini, inilah yang saya harapkan.
Tali jam juga terasa lembut dan selesa untuk dipakai seharian kerana ia menggunakan bahan fluoroelastomer. Jika anda rasa tali jam seperti ini tidak selesa, ia boleh dicabut dan ditukar kepada tali jam lain mengikut kesesuaian anda.

Jam tangan ini juga hanya seberat 41g (tanpa tali jam). Ia terasa ringan dan tidak melenguhkan tangan saya walaupun dipakai seharian.
Dari segi ketahanan pula, jam ini mempunyai penarafan 5ATM dan IP69. Ini bermakna, saya boleh sahaja mandi tanpa perlu membuka jam tangan ini. Ia juga tahan debu jikalau saya ingin melakukan aktiviti lasak seperti menaiki kereta ATV di Pantai Klebang.
Setakat ini, binaannya memang premium. Bagaimana pula dengan skrin dan OS?
Apabila masuk bab skrin pula, ia dilengkapi dengan skrin sentuh LTPS AMOLED, resolusi 464×464 piksel yang bersaiz 1.46 inci. Digabungkan dengan kadar segar semula 60Hz dan 317 PPI, skrin jam ini terasa lancar dan segala maklumat yang ditunjukkan pada skrin ini kelihatan tajam.
Dengan kecerahan yang boleh mencecah 3000 nits, saya tidak berhadapan sebarang masalah ketika menggunakannya di bawah matahari. Dengan adanya juga sensor cahaya ambien, kecerahan skrin akan terlaras secara automatik mengikut situasi. Dengan wujudnya juga sensor giroskop, skrin ini boleh dihidupkan dengan hanya mengangkat tangan apabila tetapan “raise to wake” dihidupkan.
Selain skrin yang lancar, MagicOS 10.0 yang menguasakan jam ini juga lancar. Setelah sebulan memakainya, tiada masalah sangkutan, bug, atau glitching pada user interface (UI).
Kalau skrin dan OS dah lancar, apa cerita dengan kawalan pula?
Jam ini menggunakan kombinasi skrin sentuh, butang ‘down’, dan roda tatal. Bagi saya, kawalan-kawalan ini sangat mudah untuk digunakan untuk menavigasi menu, dan ia juga responsif.
Fungsi roda tatal pada jam ini adalah untuk membuka senarai aplikasi yang ada dalam jam, dan untuk menatal skrin. Tetapi, ia hanya boleh menatal melalui senarai aplikasi dan ketika ingin menetapkan masa untuk alarm. Ia tidak boleh digunakan untuk menatal melalui muka-muka jam.

Terdapat haptic feedback, iaitu sensasi bergetar apabila memutarkan roda tatal ketika menavigasi menu. Bagi saya, getarannya tidak rasa murah, dan ada sedikit mirip Apple Watch yang jauh lebih mahal.
Bagi yang tidak gemar dengan sensasi getaran seperti ini, ia boleh dimatikan di dalam ‘Settings’.
Beralih kepada butang ‘down’, fungsi asalnya adalah melancarkan ciri ‘Workout’.

Tetapi, fungsi ini boleh diubah untuk melancarkan aplikasi lain dan ciri-ciri lain juga seperti di bawah:
Jika kawalan intuitif, tetapi tiada kemampuan sebuah jam pintar, tiada guna juga. Tetapi, HONOR tidak kedekut dalam memberikan sebanyak ciri yang mungkin, membuatkan jam ini mantap dari segi kebolehannya.
Jam ini kaya dengan ciri-ciri, lebih-lebih lagi berkaitan sukan. Dalam laman ‘workout’, terdapat pelbagai jenis aktiviti yang dapat dibaca seperti badminton, bola sepak, mendaki gunung, berenang, dan berjalan kaki.
Satu ciri yang menarik perhatian saya adalah GPS. Digandingkan dengan sensor-sensor seperti accelerometer, magnetometer, dan barometer, ia dapat mengesan bilangan jejak langkah, altitude kawasan sekeliling, penjejakan arah, dan jarak perjalanan saya ketika melakukan aktiviti berjalan kaki di luar. Bacaannya juga hampir tepat, menjadikan jam satu alat praktikal untuk saya pakai ketika berjalan kaki.
Cuma, fungsi GPS hanya boleh digunakan di kawasan luar sahaja, dan tidak boleh digunakan di kawasan berbumbung seperti di pusat beli belah.
Satu perkara yang saya perasan adalah apabila saya mula berjalan secara santai, notifikasi seperti ini akan muncul untuk mengetahui jika saya ingin memulakan mod berjalan kaki atau tidak. Cukup praktikal ketika saya memerlukannya.

Ada juga ciri ‘Sedentary alert’ yang akan mengingatkan saya untuk bergerak jika saya duduk selama sejam di pejabat. Tetapi, ciri ini hanya boleh diaktifkan melalui aplikasi HONOR Health.
Selain bacaan pergerakan, ia juga boleh baca kadar denyutan jantung dengan adanya sensor kadar denyutan jantung optikal. Ia bukan sahaja digunakan ketika melakukan sebarang aktiviti, malah ia juga digunakan untuk menilai kualiti tidur kerana jam ini juga boleh memberikan skor tidur berdasarkan data seperti tempoh jam tidur, perkadaran tidur, dan kualiti pernafasan.
Tetapi, ciri seperti ini memerlukan anda untuk memakai jam ini semalaman. Jadi, jika anda jenis yang kurang gemar memakai jam ketika tidur, anda tidak akan dapat data dan skor mengenai kualiti tidur anda.
Selain menilai kualiti tidur, jam ini juga mempunyai hayat bateri yang panjang.
Dengan adanya kapasiti bateri sebesar 980mAh, jam ini mampu bertahan dalam lingkungan 17-21 hari. Ini pun dengan jam ini sekali sekala disambungkan ke Bluetooth dan Raise to wake dihidupkan pada setiap masa.