by Oh! Semput
Sebuah gudang yang menyimpan kira-kira 1,200 gulung jerami dan peralatan elektrik musnah dalam kebakaran di Pertubuhan Peladang Kawasan C2 Kerpan, Kampung Tempayan Pecah, Ayer Hitam, Kedah, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.06 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra serta BBP Simpang Empat, Perlis ke lokasi.
Pasukan bomba tiba kira-kira lapan minit kemudian dan mendapati kebakaran berlaku di gudang milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menyimpan ribuan gulung jerami serta peralatan elektrik.
Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dan api berjaya dikawal pada jam 11.33 malam. Bagaimanapun, anggota bomba masih menjalankan kerja-kerja pemadaman serta pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bara yang boleh menyebabkan api kembali merebak.
Gudang berkenaan dianggarkan berkeluasan 600 x 300 kaki persegi, dengan kira-kira 80 peratus strukturnya terbakar. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Kerja-kerja overhaul dilakukan dengan merobohkan sebahagian dinding gudang serta meleraikan timbunan sisa jerami bagi memudahkan anggota bomba mencapai bahagian yang masih berbara. Dua jentolak turut digunakan untuk membuka akses dan membantu operasi pemadaman.
Jerami yang disimpan dalam jumlah besar menjadi antara cabaran utama dalam operasi kerana bara api boleh kekal di bahagian dalam timbunan walaupun api di permukaan telah dikawal.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan dijangka ditentukan selepas siasatan lanjut pihak berkuasa.
Gudang Simpan 1,200 Jerami Gulung Musnah Dalam Kebakaran first appeared on #1 The News Malaysia.