by Oh! Semput
Kecerdasan buatan (AI) telah mencipta pekerjaan baharu dalam lebih separuh daripada firma di United Kingdom (UK), menurut satu kajian oleh bank British, Lloyds, yang dikeluarkan pada Selasa, meskipun kebimbangan mengenai impaknya terhadap pasaran pekerjaan semakin meningkat.
Walau bagaimanapun, kajian tersebut tidak menyatakan sama ada peranan lain telah dihapuskan pada masa yang sama.
“Lebih daripada separuh (54 peratus) perniagaan di UK menyatakan bahawa AI telah mencipta pekerjaan baharu,” kata Lloyds dalam satu kenyataan yang berdasarkan penyelidikan perniagaan bulannya.
AI telah menimbulkan kebimbangan mengenai pasaran pekerjaan, dengan sesetengah pihak bimbang akan impaknya terhadap kadar pengangguran, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Satu laporan OECD bulan lalu mendapati bahawa AI tidak menyebabkan penurunan guna tenaga secara meluas di seluruh negara anggotanya, tetapi mengulangi bahawa teknologi tersebut sedang mengubah kemahiran yang dicari oleh perniagaan dan mungkin menyukarkan golongan muda untuk memasuki alam pekerjaan.
Pengangguran belia global meningkat tahun lalu, dengan golongan muda menyuarakan kebimbangan bahawa pekerjaan peringkat permulaan (entry level) digantikan oleh teknologi, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal bulan ini.
AI kini semakin menjadi pesaing yang fleksibel, pantas, dan murah bagi ramai pekerja kolar putih, sekali gus mengancam ekonomi UK yang didominasi oleh industri perkhidmatan.
Daripada 1,200 perniagaan yang ditinjau, Lloyds mendapati bahawa 58 peratus merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam AI pada tahun akan datang untuk “meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka.”
“AI mempunyai potensi untuk mengubah dunia perniagaan sepertimana kemunculan internet pada generasi lalu,” kata Amanda Murphy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbankan perniagaan dan komersial Lloyds dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhannya, 61 peratus syarikat menyatakan bahawa mereka kini menggunakan AI, dan majoriti berpendapat bahawa mereka yang gagal mengguna pakai AI akan berada dalam kerugian dari segi persaingan. – AFP
{suggest}
Kajian Dapati AI Cipta Pekerjaan Baharu dalam 54% Firma UK WISER.MY.